Noorshila memegang Al-Quran pada sidang media menjelaskan isu pertengkaran dengan pelakon, Lana Nordin di Singapura yang diadakan di Desa Sri Hartamas. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Noorshila memegang Al-Quran pada sidang media menjelaskan isu pertengkaran dengan pelakon, Lana Nordin di Singapura yang diadakan di Desa Sri Hartamas. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Michelle Gun


PENYANYI, Noorshila Amin dan anaknya, Nurrul Admiena Norrizan sebak ketika melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak mengambil wang daripada lapan artis yang berniaga di ekspo jualan di Brunei, April lalu.

"Saya tidak pernah mengambil satu sen duit rakan artis yang saya bawa ataupun membuat penipuan terhadap duit iaitu Encik Mimpi, Jasmin Ashraff, Anina Ahmad B, Liza Abdullah, Shila Mambo, Rozie Othman, Zul Yahya dan Aiman Tino.

"Saya juga tidak pernah menimbulkan masalah yang membabitkan wang, bagi tujuan kepentingan sendiri dengan penganjur Brunei.

"Seterusnya tidak pernah mengambil atau menerima wang daripada penganjur, mahupun pihak wakil," katanya ketika melafazkan sumpah laknat pada sidang media, hari ini.

Sidang media itu susulan berita dan video dimuat naik penyanyi Roslan Shah dalam sosial media mengenai pertengkaran Noorshila dan pelakon Lana Nodin di ekspo Singapura, minggu lalu.

Noorshila yang mengusahakan produk minuman bersama keluarganya mendakwa Lana yang turut terbabit dalam ekspo di Brunei dan Singapura menyebarkan fitnah itu kepada beberapa rakan artis.

"Pada ekspo di Singapura minggu lalu, saya didatangi rakan artis yang memberitahu Lana mendakwa saya menipu duit mereka sewaktu ekspo di Brunei.

"Ketika meminta penjelasan dari Lana, dia tidak menafikan cerita itu dan mengaku kerana mendengarnya dari penganjur," katanya.

Menjelaskan isu pertengkaran dengan Lana, Noorshila turut menafikan menendang troli milik Lana sehingga menyebabkan barang bertaburan seperti didakwa pelakon itu.

"Gerai kami bersebelahan dan pada hari kejadian, troli Lana terletak di hadapan ruang gerai saya.

"Jadi, saya 'sound' penjaga gerai Lana supaya jangan berbuat demikian kerana tak mahu terlanggar troli itu. Saya cuma menguis troli itu dan bukan menendangnya," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Rambu Ramba itu berkata, dia dan anak perempuannya tampil membuat penjelasan bagi membersihkan imejnya kerana akan berurusan di Singapura.

"Ada netizen kata mahu mengelak dari mengunjungi gerai saya. Saya tahu ada juga beberapa individu lain yang turut menyampaikan fitnah itu kepada artis lain.

"Saya sedih sebab berkawan baik dengan Roslan malah sering bertanyakan khabar ibunya.

"Sekarang, kami mungkin tidak seakrab seperti dulu. Saya terkilan dia mengeluarkan kenyataan sebegitu apatah lagi dia tiada di lokasi kejadian," katanya.

Kata Noorshila, dia bakal berniaga di ekspo di Singapura, 8 Disember ini dan acara itu turut disertai Roslan serta Lana.

Susulan itu, Noorshila membuat laporan polis terhadap Roslan dan Lana masing-masing pada semalam dan hari ini di Balai Polis Seremban 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 5:53 PM