Khai (kiri) bersama Rara (tengah) dan penerbit filem, Ustaz Iskandar.FOTO KHAI BAHAR
Khai (kiri) bersama Rara (tengah) dan penerbit filem, Ustaz Iskandar.FOTO KHAI BAHAR
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular Khai Bahar berbesar hati apabila dipilih menyanyikan dua lagu tema filem Haji Kecil terbitan produksi Indonesia yang bakal ditayangkan pada Ramadan tahun depan.

Khai, 23, berkata dia baru sahaja menjalani proses penataan dan susunan vokal dalam lagu yang dijalankan di Indonesia bersempena kunjungannya ke negara itu bagi tujuan mempromosikan single Luluh.

“Ini pertama kali saya menyanyikan lagu tema filem. Malah, apabila mendengarnya saya terus jatuh cinta dengan muzik dan liriknya.

“Sama seperti komposer yang inginkan hasil terbaik dalam lagu ciptaan mereka, begitu juga saya yang akan mencuba memberikan persembahan terbaik untuk lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dua lagu yang bakal dinyanyikan Khai adalah Doa dan Harapan dan Doa Yang Diijabah yang mana kedua-duanya hasil sentuhan komposer Rara Tarmizi.

“Saya menganggap ini satu rezeki. Dalam masa sama ia peluang untuk saya melebarkan sayap nyanyian di negara seberang. Mungkin apabila lagu tema ini dilancarkan membuka lebih banyak ruang untuk saya mengetengahkan bakat di sana.

“Sebelum ini kunjungan saya ke Indonesia lebih kepada sesi bertemu peminat dan promosi lagu. Alhamdulillah, kali ini ada perkembangan lain yang lebih menggembirakan.

“Sejujurnya ini satu lagi pencapaian baru dalam kerjaya saya. Pastinya sebagai penyanyi baru, saya sangat teruja. Peluang sebegini bukannya selalu ada apatah lagi diberikan kepada penyanyi luar,” katanya.

Menurut Khai, dia turut mendapat tawaran daripada pihak produksi untuk mengerjakan ibadah umrah sekali gus menjalani satu babak filem itu pada hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Khai tidak berbuat sedemikian kerana terikat dengan komitmen kerja yang sudah dipersetujui lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 11:47 AM