Khai Bahar menunjukan buku Luluh pada pelancarannya di PWTC. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Khai Bahar menunjukan buku Luluh pada pelancarannya di PWTC. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Norhayati Nordin


PENYANYI popular, Khai Bahar mengakui dia mengikut jejak langkah pelakon Fattah Amin tampil melancarkan novel berjudul Luluh.

Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 24, berkata memang dia menjadikan kejayaan Fattah sebagai sumber inspirasi.

“Saya tak nafikan antara sebab sudi bekerjasama dengan novelis Ezza Mysara untuk menghasilkan novel Luluh selepas melihat kejayaan Fattah.

“Apatah lagi, lagu Luluh hasil ciptaan saya sepenuhnya ini memang dekat dengan kehidupan yang berlaku dalam masyarakat.

“Walaupun tidak sepenuhnya dalam lagu Luluh ada memceritakan kisah hidup sendiri tetapi saya yakin ia pernah dilalui oleh orang lain juga,” katanya.

Tahun lalu, menerusi karya Ezza Mysara juga Fattah tampil dengan buku '99 Kata-Kata Fattah Amin' dan novel Wanita Terakhir.

Menurut penyanyi yang turut popular dengan lagu Bayang itu, dia juga menganggap kemunculan novel Luluh sebagai hadiah buat peminat setianya.

“Pengalaman saya sebagai penyanyi masih mentah tetapi beradanya saya di tahap sekarang adalah disebabkan sokongan peminat.

“Hanya ucapan terima kasih mampu saya berikan kepada peminat yang tidak jemu memberikan sokongan mereka,” katanya.

Khai berharap novel Luluh akan mendapat sambutan yang baik daripada penyokongnya dan peminat novel tanah air.

Mengulas mengenai kekuatan novel Luluh itu, Khai berkata ia memaparkan kisah tersirat yang dimuatkan dalam lagu berkenaan.

Terdahulu, novel Luluh terbitan Idea Kreatif dilancarkan oleh Khai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Khai baru-baru ini dinobatkan pemenang anugerah Top Top MeleTOP Lelaki selain menang kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 5:27 PM