DIXIT bersama bendera di Bir Tawil. FOTO Agensi
DIXIT bersama bendera di Bir Tawil. FOTO Agensi
Agensi

Kaherah: Seorang lelaki India mencuit hati pengguna Internet apabila mengisytiharkan dirinya pemimpin kawasan yang tidak dimiliki mana-mana negara di Afrika Utara, malah menggesa orang datang memohon menjadi rakyatnya.

Suyash Dixit mengembara ribuan kilometer ke Bir Tawil, kawasan seluas 2,071 kilometer persegi yang tidak berpenghuni antara Mesir dan Sudan, yang tidak dituntut mana-mana negara berkenaan.

Bir Tawil satu-satunya kawasan di Bumi tempat manusia mampu hidup yang bukan sebahagian dari negara atau negeri, yang wujud akibat kesilapan mengukur sempadan oleh British pada 1899.

‘Pemimpin’ barunya itu melakukan perjalanan mencabar ke Bir Tawil selepas menghabiskan dua malam merancang pengembaraannya ke gurun serta mencari pemandu tempatan untuk membawanya ke situ.

“Laluan yang saya gunakan di bawah kawalan tentera Mesir dan ia kawasan pengganas jadi askar memang mempunyai arahan untuk menembak sesiapa saja yang dilihat di situ.

“Kamu memerlukan izin hanya untuk ke kawasan laluan dan kami diberi tiga syarat - tiada gambar kawasan tentera dibenarkan, selain perlu pergi dan pulang dalam satu hari serta tidak membawa barangan berharga. Hidup ini cuma sekali!” katanya.

Menurutnya, dia menaiki kereta selama enam jam semata-mata untuk mencucuk bendera serta menanam beberapa benih di kawasan gurun untuk mengasaskan ‘Kerajaan Dixit’ serta menamakan dirinya raja.

“Berdasarkan etika serta peraturan tamadun awal, untuk menuntut tanah sebagai milik anda, perlu ada tanaman. Saya sudah menanam benih dan menyiramnya hari ini. Jadi ini tanah saya.

“Negara kita bermula di gurun yang kering kontang ini, namun dengan derma daripada masyarakat dunia dan penggunaan sains moden, kita pasti mampu mewujudkan negara paling subur dan peka ekologi di dunia.

“Sayalah rajanya! Ini bukan gurauan! Tiba masanya saya menghantar e-mel kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:45 AM