HALIA ialah tanaman vegetatif iaitu perkembangan berlaku pada bahagian akar atau di dalam tanah.
HALIA ialah tanaman vegetatif iaitu perkembangan berlaku pada bahagian akar atau di dalam tanah.
Nurul Husna Mahmud


MALAYSIA memerlukan 50 ribu tan halia setahun bagi menampung permintaan semasa dan jumlah itu dianggar meningkat setiap tahun.

Namun berbanding kapasiti hasil pengeluaran halia dalam negara hanya 18 ribu tan setahun dan selebihnya diimport dari luar.

Penghasilan tanaman halia rendah didorong pelbagai faktor dan paling ketara ialah kurangnya benih pokok halia itu sendiri.

Bagi mendapatkan bekalan, ada antara pengusaha tanaman menunggu tempoh hampir setahun sebelum memulakan penanaman tanaman halia yang baru.

Hal itu dikongsi Pengarah Tamara Nanoetech Sdn Bhd, Syakur Mohd Suhaimi yang juga mengusahakan pertanian halia secara komersial bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

Kata Syakur, dia yang mula menanam halia sejak 2017 mendapati kekangan pengusaha tanaman itu ialah masalah kekurangan benih pokok.

"Dalam formula penanaman halia, bahagian untuk menyiapkan benih tanaman halia sahaja perlu menunggu 12 bulan.

"Tempoh kritikal ialah selepas sembilan bulan kerana ada proses rawatan benih perlu dijalankan sebelum prosedur penanaman pokok untuk tuaian pula.

"Pengusaha tanaman halia 'bergelut' kesukaran untuk memastikan pengeluaran halia secara konsisten kerana kekurangan bekalan benih tanaman terbabit," katanya.

Syakur berkata, dia terpaksa melakukan penyediaan benih tanaman halia sendiri bagi memastikan penanaman untuk dapatkan hasil tuaian konsisten setiap bulan.

"Dalam penanaman halia, kitaran mendapatkan hasil halia muda ialah empat hingga lima bulan dan halia matang pula lapan hingga sembilan bulan.

"Saya perlukan sediakan benih tanaman halia sekurang-kurangnya empat hingga lima tan. Ini bagi menjamin pengeluaran tahunan 250 tan halia dapat dikeluarkan daripada ladang.

"Dalam tanah keluasan 17 hektar membabitkan 12 plot tanaman halia di tiga ladang terletak di Sepang, Selangor, Janda Baik Pahang dan Gurun, Kedah. Setiap lokasi itu diperuntukkan satu plot untuk tanaman benih halia sahaja," katanya.

Tambah pengusaha berusia 36 tahun itu, kaedah 'soilless agriculture' iaitu teknologi moden digunakan dalam penanaman halia berkenaan.

"Bahasa mudah untuk sistem penanaman tanpa tanah ialah fertigasi yang mana medium digunakan cocopeat atau sekam padi.

"Ini membantu mengurangkan risiko terutama jangkitan kulat yang boleh mengancam tanaman halia.

"Dengan baja diformulasi sendiri syarikat bagi merangsang pengeluaran hasil halia sehingga 150 peratus menerusi kolaborasi rakan strategik termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), kami berusaha meningkatkan pengeluaran hasil halia untuk keperluan domestik," katanya.

Ketika ini, kata Syakur, pihaknya menanam tiga jenis halia iaitu halia tambunan atau halia tanduk rusa untuk komoditi, sementara halia Bentong diusahakan di Janda Baik pula bagi pasaran premium.

"Permintaan halia muda ketika ini antara hasil paling stabil yang mana harga pasaran sekitar RM5 hingga RM6, berbanding pasaran halia tua sekitar RM4 kerana persaingan dengan halia import.

"Halia Bentong pula hanya memenuhi pasaran tertentu contohnya dalam sektor perubatan yang bernilai tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:45 AM