ZAKARIA Kamantasha, 53, menunjukkan beras organik yang diusahakannya di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. FOTO Amran Hamid
ZAKARIA Kamantasha, 53, menunjukkan beras organik yang diusahakannya di Sri Lovely Organik Farm, Kampung Lintang, Belantik. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


RUTIN membaca al-Quran bersama tafsirnya memberi idea kepada petani untuk melakukan inovasi mengusahakan tanaman padi di dalam polibeg selepas hampir lima tahun menanam padi organik di sawah seluas sembilan hektar.

Zakaria Kamantasha, 53, berkata, inovasi itu dilakukan sejak September 2014 selepas mendapat ilham dari ayat 261 surah al-Baqarah yang menyebut mengenai menanam sebiji benih.

“Maksud ayat itu ialah (perumpamaan bagi orang mendermakan hartanya pada jalan Allah SWT sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji, Allah SWT melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) dan lagi Maha Mengetahui).

“Selepas memahami ayat itu, saya sedar bahawa tanaman padi tidak semestinya di atas tanah yang luas sedangkan Allah sudah menyebut benih boleh ditanam satu per satu dan saya memilih untuk tanam dalam polibeg,” katanya ketika ditemui di Sri Lovely Organik Farm, di Kampung Lintang, Belantik di Sik.

Zakaria berkata, setiap benih yang ditanam akan mengeluarkan 70 hingga 80 tangkai yang mana boleh menghasilkan kira-kira 12,600 biji padi iaitu seberat 350 gram.

Katanya, penanaman padi di dalam polibeg masih mengekalkan cara tanaman organik dan mengambil masa yang sama seperti tanaman biasa iaitu selama 110 hari.

“Setiap musim saya akan menanam di dalam 300 polibeg dengan hasil 90 kilogram (kg) dan proses menanam ini tidaklah serumit tanaman biasa yang memerlukan perhatian yang lebih, dalam polibeg saya hanya perlu menyiram dan menabur baja dan racun organik.

“Antara lain ia tidak memerlukan ruang yang luas dan boleh ditanam di mana saja walaupun di kawasan bandar, kini inovasi yang saya lakukan turut saya kongsi dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan mereka menanamnya di atas bumbung di satu daripada pusat pengajian di sana,” katanya yang juga Felo Disaster Management Institute (DMI) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagaimanapun, semasa tinjauan di Sri Lovely, Zakaria baru saja menuai padi di dalam polibeg dan dia akan memulakan tanaman dalam polibeg semula tidak lama lagi.

Sementara itu, ladang Sri Lovely mendapat perhatian pengkaji, penuntut dan pengunjung dari seluruh dunia termasuklah dari Belgium, Perancis, Itali, Arab Saudi, Jepun, Australia dan Singapura.

Mereka sanggup menjadi sukarelawan sebagai petani bagi mendapatkan ilmu secara praktikal sebelum dibawa balik ke negara mereka.

Antaranya adalah Federica Agnese, 29, yang berasal dari Rom, Itali.

Katanya, dia sudah dua tahun tinggal di situ bagi melakukan kajian untuk pengajian Doktor falsafah (PHD) Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik UUM.

“Selama di Sri Lovely saya mempelajari banyak perkara mengenai pertanian padi organik termasuk cara tanaman di dalam polibeg, di sini kaedah penanaman padi berbeza dari tempat lain iaitu melalui prinsip-prinsip penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan serta tidak membunuh serangga dan organisma baik di dalam tanah.

“Kesemua prinsip ini terbukti berjaya selepas perlaksanaannya memberi kesan yang sangat positif menerusi hasil tuaian, beras yang lebih berkualiti, menjimatkan sumber dan kos serta penjagaan alam sekitar.

“Walaupun saya bekerja di bawah panas terik serta hujan, saya sudah tahu mencedung, melandak sehinggalah mengerat pokok padi secara tradisional, semuanya sangat berbaloi dan saya merancang untuk mengaplikasikan inovasi ini apabila saya pulang ke Itali nanti,” katanya yang merancang menulis tajuk kajiannya sebagai ‘Monitoring Farmer Field School in Malaysia’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:41 AM