AHLI Persatuan Bela Belia Tawau (PEMBELA) menunjukkan laporan polis. FOTO Nasrawati Syarifuddin
AHLI Persatuan Bela Belia Tawau (PEMBELA) menunjukkan laporan polis. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


PERSATUAN Bela Belia Tawau (PEMBELA) membuat laporan polis berhubung perkahwinan sejenis yang viral di media sosial, sejak 10 November.

Pengerusinya, Shamry Mohammad Sani, berkata laporan polis itu dibuat supaya kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kedua-duanya.

“Saya selaku wakil persatuan ini menggesa supaya jabatan yang diamanahkan atau yang diberi kuasa, khususnya pejabat pendaftar perkahwinan menyiasat dan mengambil tindakan.

“Difahamkan, Kerajaan Malaysia tidak pernah meluluskan mana-mana agama membenarkan perkahwinan sejenis,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Beliau membuat laporan bersama tiga lagi wakil persatuan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Bela Belia Usia Bahagian Tawau, Persatuan Nur Al-Mustafa dan Persatuan Banjar Tawau.

Shamry berkata, tindakannya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa juga untuk mengelak kejadian terbabit daripada berulang dan diharap tidak menjadi budaya kepada masyarakat di negara ini.

Foto kedua-dua lelaki disyaki pasangan sejenis, masing-masing berusia 26 dan 28 tahun menjadi viral selepas mereka memuat naik gambar majlis praperkahwinan yang dikatakan diadakan di Kuala Lumpur.

Status itu mendapat kecaman netizen.

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu juga memiliki premis yang terletak di kawasan pusat komersial Kubota Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:50 PM