NANA gembira hasrat tunai umrah bakal terlaksana awal bulan depan.
NANA gembira hasrat tunai umrah bakal terlaksana awal bulan depan.
Najiy Jefri


Pelakon Siti Nordiana berkongsi berita gembira apabila bakal menunaikan umrah pada awal bulan depan.

Katanya, dia bersyukur dan teruja kerana impian melaksanakan ibadat itu bersama anak dan dua lagi anggota keluarga tercapai.

“Alhamdulillah, saya bersyukur segala urusan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tahun ini dipermudahkan.

“Buat masa ini, saya selesaikan dulu tugasan yang sudah dipersetujui termasuk promosi lagu duet dengan Jaclyn Victor, disusuli pembikinan single solo baharu.

“Sekembali dari Makkah nanti, saya akan terikat pula dengan drama Pengantin Musim Salju yang kemungkinan besar menjalani penggambaran di Korea Selatan,” katanya.

Penyanyi yang selesa disapa Nana itu mengakui banyak perkara utama yang ingin dimohonnya ketika berada di Makkah.

“Tanah Suci adalah tempat paling mustajab untuk memohon doa. Banyak perkara yang ingin saya doakan selain diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki,” katanya.

Kata Nana, perasaannya ketika ini bercampur-baur namun dia tidak sabar untuk mengerjakan ibadah itu.

“Saya ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah. Saya juga akan menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu sebelum menjejakkan kaki ke sana.

“Sejujurnya, terselit perasaan takut memandangkan ini pengalaman pertama tetapi pada masa sama saya gembira. Saya teringin melihat suasana di sana,”katanya.

Beralih mengenai gandingan semula bersama Alif Satar dalam Pengantin Musim Salju selepas setahun mereka mencuri perhatian menerusi Dia Semanis Honey, dia sendiri tidak sabar untuk menjayakan drama bersiri baharu itu.

Kata Nana, Michael Ang selaku pengarah memang berhajat mempercepatkan penggambaran tetapi ketika itu musim salji sudah berlalu, selain memberikan perhatian kepada pementasan Dia Semanis Honey the Musical.

“Jika tiada aral, sebaik pulang dari umrah pada pertengahan Disember, saya akan terbang ke Seoul pula. Harap-harap semua urusan dipermudahkan dan berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 10:01 AM