SITI Nordiana. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SITI Nordiana. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


Rezeki Allah SWT itu sesungguhnya luas dan bertuahlah indivudu yang memperolehnya. Apatah lagi, popular buat kali kedua.

Itulah yang kini dikecapi penyanyi, pelakon dan pengacara jelita, Siti Nordiana Alias atau Nana, 32. Lebih bermakna buat Nana dalam perjalanan karier nyanyiannya apabila dicalonkan untuk berentap di Separuh Akhir Muzik Muzik 32 (MM32) pada 5 November ini.

Mempertaruhkan single ciptaan Nana sepenuhnya, Terus Mencintai, ibu tunggal kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 9, sangat menghargai sokongan diberikan peminatnya.

Nana bersyukur dengan pencapaian Terus Mencintai hingga layak bertanding di separuh akhir MM32 dan besar harapannya dapat mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti.

“Sebenarnya ini penantian belasan tahun yang saya rasakan sangat berbaloi sepanjang aktif dalam bidang nyanyian.

“Apatah lagi kali ini saya mendapat peluang untuk berentap dengan lagu sendiri dan saya nekad membuat persembahan terbaik.

“Sama ada seterusnya layak bertanding di pentas akhir AJL nanti, saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Layak bertanding di separuh akhir pun bagi saya satu anugerah dan nikmat yang besar diberikan Allah SWT kepada saya,” katanya.

Kali terakhir Nana menjejakkan kaki bertanding di pentas AJL pada 2007 menerusi lagu Pandak. Kata Nana, itu pun kerana menggantikan penyanyi Syura.

“Apa yang cukup membanggakan kerana ini kali pertama saya layak bertanding ke separuh akhir dengan lagu sendiri,” katanya.

Enggan mensia-siakan peluang diperoleh dan kepercayaan peminat, Nana berkata dia mengharapkan dapat membuat persembahan terbaik.

Pada Disember ini, Nana juga akan ke Tanah Suci Makkah. Kata Nana, dia akan menunaikan umrah bersama anak lelakinya, bapa dan abang kandung termasuk juga pelakon Zoey Rahman, 31.

“Jika tiada aral dan mengikut apa yang sudah dirancang, saya akan berangkat mengerjakan umrah buat kali pertama pada 12 Disember depan.

“Terus terang, perjalanan masa yang semakin pantas kini memang membuatkan hati saya penuh dengan debaran untuk ke sana.

“Namun, memikirkan bukan mudah mendapat peluang dijemput sebagai tetamu Yang Maha Esa, saya perlu cekalkan hati.

“Apa saja cerita dikongsikan orang lain yang sudah ke Makkah kepada saya, saya ambil sebagai iktibar dan peringatan,” katanya.

Menurut Nana, dia lebih selesa mengambil pendekatan positif kerana percaya setiap dugaan diberikan Allah kepada hamba-Nya berbeza-beza.

“Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kerana hampir dapat menunaikan impian selama ini untuk menjadi tetamu Allh SWT.

“Harapan saya, semoga impian ke sana untuk beribadat juga dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar,” katanya.

Mengenai karier lakonan, hujung tahun ini juga Nana akan memasuki set penggambaran drama Klik! Pengantin Musim Salju.

Bakal berganding semula dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Alif Satar, ia dianggap Nana satu lagi peluang yang baik diperolehnya.

Nana juga berterima kasih kepada peminatnya yang setia memberi sokongan dan dengan rendah diri mengakui amat menghargai sokongan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 9:53 AM