GRAFIK Fahmy Hashim
GRAFIK Fahmy Hashim
HM Digital


NETIZENS memberikan ‘one up’ kepada Kedah untuk muncul juara Piala Malaysia edisi ke-91, apabila Helang Merah itu bertemu Johor DT di Stadium Shah Alam, malam ini.

Netizens juga mengandaikan tiada masa tambahan akan diberikan selepas tamat 90 minit perlawanan.

Lebih seribu responden membuat undian di laman Twitter Harian Metro di @hmetromy yang dibuka sepanjang dua hari sejak Rabu, 1 November 2017.

Menerusi undian berkenaan, skuad Hijau Kuning menerima kira-kira 67 peratus undian yang boleh diandaikan sebagai pilihan untuk membawa pulang trofi itu.

Ramalan 10 atlet Malaysia

Khairul Hafiz Jantan (raja pecut negara)

Ramalan: Kedah 1-2 JDT

“JDT ramai pemain negara dan mereka sudah bermain lama sebagai satu pasukan. Mereka juga pasukan paling konsisten di Malaysia untuk empat tahun lalu dan kejayaan muncul juara Liga Super sebanyak empat kali berturut-turut adalah bukti kehebatan mereka. Kedah juga kuat, tapi saya rasa JDT boleh menang.”

Faizal Saari (penyerang hoki negara)

Ramalan: Kedah 2-1 JDT

“Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang tetapi saya pilih Kedah untuk menang. Permainan pasukan Kedah menghiburkan selain penyokong mereka yang fanatik.”

Iskandar Zulkarnain Zainuddin (pemain perseorangan badminton)

Ramalan: Kedah 1-2 JDT

“Saya orang Johor, selama ini pun saya bermain badminton mewakili negeri Johor. Serangan pasukan juga amat berbisa ala ular mematuk mangsa. Selain itu, pemain JDT juga rata-ratanya berpengalaman dan sering bermain di pentas tertinggi yang memberi kelebihan kepada pasukan.”

Muhamad Firdaus Mohd Zonis (pelumba trek basikal negara)

Ramalan: Kedah 3-2 JDT

“Saya pilih Kedah sebab mereka macam Barcelona yang mengamalkan permainan hantaran pendek. Pemain mereka juga tidak gopoh ketika melakukan serangan dan sentiasa terkawal dalam setiap gerakan. Malah, saya juga gemar lihat aksi lincah pemain import Kedah seperti Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva yang mempunyai skil individu menarik.”

N Thanabalan (penyerang skuad B-23 negara)

Ramalan: Kedah 0-0 JDT (sepakan penalti dimenangi JDT)

“Atas kertas dua-dua pasukan sama hebat dan handal. Agak sukar untuk saya pilih tapi rasanya JDT ada peluang cerah berdasarkan kemampuan mereka menjulang Liga Super empat kali berturut-turut. “Saya rasa perlawanan seri tanpa jaringan dalam masa 90 minit dan juga masa tambahan. Tapi untuk sepakan penalti JDT ada kelebihan, malah penjaga gol mereka juga berpengalaman.”

Mohamad Ziyad Zolkefli (jaguh paralimpik negara dalam acara lontar peluru)

Ramalan: Kedah 1-1 JDT (Sepakan penalti dimenangi JDT)

“Saya percaya perlawanan akhir nanti akan berlangsung sengit. Persediaan Kedah pun bagus, persedian JDT pun bagus juga. Memang sengit dan rasanya ini adalah perlawanan impian untuk disaksikan. Bagaimanapun, saya ramal keputusan mungkin terikat 1-1 dan penentuan penalti berpihak JDT.”

Leong Mun Yee (penerjun negara)

Ramalan: Kedah 2-3 JDT

“Saya tak berapa ikuti perkembangan bola sepak tetapi saya dengar JDT ramai pemain bintang. Mungkin kehadiran pemain bintang itu akan membawa kelebihan selain faktor tuah boleh membantu mereka dalam final itu nanti.

An Najwa Azizan (atlet bola jaring)

Ramalan: Kedah 0-1 JDT

“Disebabkan ibu saya orang Johor dan Ayah pula Kedah, susah nak pilih. Tapi memandangkan kawan baik saya orang Johor, jadi saya pilih JDT menang. Jurang gol pun tak besar dalam 1-0 saja".

Anja Chong (peluncur ais negara)

Ramalan: Kedah 1-2 JDT

“Pasukan yang mara ke final pastinya kuat. Kedua-duanya miliki kelebihan tersendiri dengan Kedah juara Piala FA manakala JDT pula juara Liga Super. Tapi JDT tak pernah menang Piala Malaysia, jadi mereka lebih dahagakan trofi itu berbanding Kedah yang menjulangnya musim lalu. Saya pilih JDT untuk tewaskan Kedah.”

M Tanalaksiumy (atlet olahraga wanita negara)

Ramalan: Kedah 1-2 JDT

“JDT mempunyai pengurusan pasukan yang sangat profesional dan bagus. Saya kira elemen berkenaan telah menaikkan semangat pemain untuk bermain bermati-matian demi pasukan yang menjaga kebajikan mereka dengan baik. Tapi Kedah juga kuat, cuma hati saya berat mengatakan JDT akan menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:47 AM