Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa meletak jawatan dengan segera.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia sebagai tanggungjawab atas kekalahan BN dan Umno yang mencatat prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, langkah itu sebagaimana diambil Datuk Seri Najib Razak yang berjiwa besar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden Umno atas kegagalan pada PRU-14.

"Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu sudah menolak UMNO. UMNO sudah rebah.

"Umno dan Barisan Nasional hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.

"Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang sudah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU-15 semalam.

"Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi," katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Dalam keputusan PRU-15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU ke-14.

Pada PRU-14 lalu, UMNO dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi Umno pada PRU-14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, BN dan Umno perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan dan demi masa depan parti.

Katanya, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula sekarang.

"Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang," katanya.

Onn Hafiz Ghazi (kiri), menggesa Zahid letak jawatan segera.
Onn Hafiz Ghazi (kiri), menggesa Zahid letak jawatan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 9:33 AM