PENGUAT Kuasa KPDNKK memeriksa barang tiruan di empat premis di Chow Kit. FOTO NSTP
PENGUAT Kuasa KPDNKK memeriksa barang tiruan di empat premis di Chow Kit. FOTO NSTP
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Produk berjenama VR46, The Doctor, KTM dan Red Bull yang menjadi laris ketika kehangatan perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam, turut diciplak segelintir peniaga yang mengambil kesempatan atas situasi itu.

Ini terbukti apabila penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu empat premis di sebuah pusat beli-belah di Chow Kit, di sini, dan merampas pelbagai aksesori tiruan menggunakan jenama berkenaan, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof Wan Taib berkata, seramai 14 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi itu yang bermula jam 3.30 petang.

“Bagi melancarkan pemeriksaan produk tiruan ketika operasi, dua wakil cap dagang turut bersama dalam serbuan ini.

“Selepas pemeriksaan dijalankan di empat premis, kami mendapati peniaga menjual pelbagai produk tiruan seperti beg, jam tangan dan topi menggunakan jenama KTM, Red Bull, VR46 dan The Doctor,” katanya.

ANTARA barangan yang dirampas. FOTO NSTP
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO NSTP

Beliau berkata, pihaknya merampas lapan beg, 113 jam tangan dan 39 topi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 160 unit serta nilai sitaan dianggarkan RM2,700.

“Pemilik dan pekerja premis diambil rakaman percakapan sebagai tindakan susulan manakala semua barangan yang disita dibuat pengecaman oleh wakil cap dagang.

“Peniaga ini tahu sekiranya mereka menjual barangan yang berkait dengan perlumbaan atau acara terbabit, jualan mereka akan lebih laris,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan dan jika sabit kesalahan, empat peniaga terbabit boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap unit barangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:55 AM