Mayat Muhammad Fakri Amin (gambar kecil) ditemui terapung oleh sepasukan penyelamat kira-kira 30 meter daripada lokasi dia tergelincir. FOTO ihsan Bomba
Mayat Muhammad Fakri Amin (gambar kecil) ditemui terapung oleh sepasukan penyelamat kira-kira 30 meter daripada lokasi dia tergelincir. FOTO ihsan Bomba
Nor Amalina Alias

“Abe gi dulu deh (Abang pergi dulu).” Demikian kata-kata terakhir Muhammad Fakri Amin Mohd Asri, 13, kepada ayahnya sebelum lemas di Pantai Kemayang, Bachok, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Fakri Amin dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika berjalan di atas batu di pantai berkenaan.

Mayat Muhammad Fakri ditemui terapung enam jam kemudian oleh pasukan penyelamat kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang di Kota Bharu.

Ibunya, Norhalida Mohd Noor, 46 berkata, sebelum keluar ke Pantai Kemayang, semalam arwah sempat meminta keizinan daripada ayahnya, Mohd Asri Sidik, 45.

"Abe (panggilan untuk arwah Fakri) sempat cakap Abe nak gi (pergi) dah ni kepada ayahnya sebelum mereka keluar.

"Sebelum itu, arwah berbalah dengan adik bongsunya, Muhammad Irfan Hakimi, 8, di dalam kereta untuk memilih lokasi riadah sebelum mereka membuat keputusan ke Pantai Kemayang.

"Arwah beria-ia mahu ke sana untuk mengutip ketam kecil. Tak sangka rupanya ajal dah panggil dia ke situ," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Cherang, hari ini.

Menurutnya, sebelum kejadian dia menyedari beberapa perubahan anak ketiga daripada empat beradik itu apabila dia dilihat makan dengan begitu berselera pagi selain menjadi pendiam.

"Selepas pulang dari majlis tahlil bapa saudara malam kelmarin (Khamis) saya pelik apabila melihat arwah menjadi sangat pendiam berbanding dengan sikapnya yang periang dan banyak cakap.

"Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Kakak mangsa, Nor Atiah pula ketika menceritakan detik cemas kejadian berkata, dia sempat melihat adiknya terjatuh ke dalam laut, sebelum dia bersama ibunya terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan Fakri.

"Saya sempat nampak tangan adik terkapai-kapai sebelum ditelan ombak.

"Saya dan mak cuba capai tangan adik namun tak berjaya kerana arus terlalu deras," katanya yang masih trauma dengan kejadian.

Berita berkaitan:

  • Remaja ditemui lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 12:56 PM