Raja Noraina Raja Rahim


VIDEO aksi dua remaja perempuan memanjat dan swafoto di atas bumbung sebuah pusat beli belah di Kemayan Square, Seremban, menjadi tular di laman sosial Facebook, sejak semalam.

Rakaman berdurasi 26 saat yang memaparkan mereka memanjat bumbung tanpa sebarang peralatan keselamatan dan mengambil gambar secara swafoto mendapat pelbagai reaksi netizen.

Tindakan mereka itu dirakam individu lain yang melahirkan rasa bimbang dan menyifatkan aksi dilakukan dua remaja terbabit sebagai berbahaya.

Malah, individu terbabit turut mendakwa menghubungi pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan supaya mengambil tindakan segera dan meminta orang ramai yang melihat rakaman itu supaya lebih berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana belum menerima sebarang maklumat.

"Kita (polis) akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan mengenai perkara itu untuk membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:18 PM
GAMBAR ini dipetik daripada video yang tular.
GAMBAR ini dipetik daripada video yang tular.