GAMBAR kelas virtual adalah foto hiasan.
GAMBAR kelas virtual adalah foto hiasan.
Yusmizal Dolah Aling


DALAM beberapa tahun akan datang, sistem penyampaian di dalam bilik darjah di Malaysia akan berubah sepenuhnya daripada konvensional kepada digital sepenuhnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ketika ini, persiapan ke arah pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 sudah dimulakan dan akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

Katanya, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam aspek memperkasa bidang pendidikan dan sudah sampai masanya pelajar di negara ini menggunakan teknologi untuk menguasai ilmu.

“Kalau kita bezakan dengan pendidikan konvensional dulu guru mengajar menggunakan buku dan bahan mengajar.

"Interaktif ini maknanya ada penggunaan peralatan digital, contoh dalam kelas ada papan pintar interaktif, pelajar ada peranti dan ia boleh digunakan serentak dengan pelbagai fungsi menarik," katanya dalam temubual khas bersama Harian Metro.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya yang menggunakan model pengajaran dan pembelajaran abad ke-21, menggunakan teknologi terkini.

Mengulas perkembangan sama, Mahdzir berkata, kementerian juga sedang mengkaji untuk memperluaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah berbanding sistem peperiksaan ketika ini.

Katanya, menerusi sistem sebelum ini, semua penilaian ke atas pelajar hanyalah bersandarkan kepada peperiksaan sedangkan aspek lain seperti sukan, sahsiah diri dan penilaian diri juga perlu diambil kira.

"Kita tengok seperti di negara maju, murid mereka tidak hanya menumpukan kepada peperiksaan semata-mata. Saya mahukan di negara kita juga begitu. Ada penilaian lain perlu dibuat dan diberi markah.

"Oleh itu, sampai satu tahap nanti kita hanya ada satu peperiksaan saja iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Peperiksaan yang lain kita gantikan dengan sistem pentaksiran ini. Negara maju seperti Jepun sudah buat dan murid mereka juga cemerlang.

"Kita mahu murid kita juga cemerlang tetapi disiplin, hormat, bijak dan pandai menguruskan diri. Ini hanya boleh berlaku dengan pentaksiran berasaskan sekolah bukan peperiksaan semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:07 PM