SEORANG nelayan  menunjukkan benteng kolam tadahan air yang ditimbus kembali selepas melepaskan air ke laut pada waktu malam.
SEORANG nelayan menunjukkan benteng kolam tadahan air yang ditimbus kembali selepas melepaskan air ke laut pada waktu malam.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Nibong Tebal: Air larut resap dari tapak pelupusan sampah Pulau Burung, dekat sini, bukan saja dipercayai menyebabkan pencemaran kepada perairan dan kawasan sekitar, malah menyebabkan kerugian besar kepada 186 penternak ikan dalam sangkar di kawasan terbabit sejak 2013.

Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Sangkar Laut Sungai Udang Tioh Tiang Lai berkata, selain itu, ia turut menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitar, malah menjejaskan kualiti air perairan itu hingga hidupan laut turut terkesan.

Menurutnya, air itu yang tidak diproses disalurkan ke kolam hanya menggunakan timbunan tanah merah sebagai tebing penahan bagi mengelak ia terkeluar.

“Air larut resap itu yang mengalir ke laut bukan saja menyebabkan kehidupan laut pupus, malah punca pendapatan nelayan turut terjejas.

“Pihak kontraktor tapak pelupusan terbabit perlu membayar pampasan bermula dari 2013 lebih RM86 juta untuk semua penternak yang terjejas sehingga kini,” katanya selepas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin melawat dan meninjau keadaan tapak pelupusan sampah itu, semalam.

Dalam pada itu, Tioh berkata, pihaknya turut mengemukakan permohonan kepada Dr Afif mengenai peruntukan bantuan makanan ikan bagi penternak ikan dalam sangkar yang mengalami kerugian akibat kebocoran air larut resap dari tapak pelupusan terbabit.

Beliau berkata, jika masalah itu tidak dikawal dan terus berlarutan, ia secara tidak langsung akan menjejaskan punca pendapatan nelayan dan penternak ikan dalam sangkar di kawasan perairan itu.

Menurutnya, perkara itu sudah disuarakan berkali-kali kepada kontraktor yang menjalankan kerja di tapak pelupusan sampah berkenaan, namun tiada tindakan sewajarnya dilakukan.

Sementara itu, Dr Afif berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan beberapa pihak berkenaan bagi mengenal pasti faktor atau punca bagi permasalahan dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, penjelasan daripada beberapa pihak berkaitan diperlukan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kerana masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:30 AM