Pengarah SW Corp Negeri Sembilan, Mohd Zahir Shari (baju biru) mengiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Teknikal SW Corp Ir Zulkifli Tamby Chik (baju merah) yang mengadakan satu lawatan kerja di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah (LTM), di sini. FOTO IHSAN SW CORP

Ahmad Hasbi

Port Dickson: Negeri Sembilan bakal memiliki fasiliti pengurusan pelupusan sampah yang boleh menghasilkan tenaga diperbaharui, Waste to Energy (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Ladang Tanah Merah (LTM), di sini.

Pengarah SW Corp Negeri Sembilan, Mohd Zahir Shari berkata, pembinaan infrastruktur itu mencapai 97 peratus dan bakal beroperasi dalam masa terdekat.

"Apabila WTE mula beroperasi kelak, semua sisa pepejal dihantar ke LTM akan ditimbang di jambatan timbang sebelum dihantar ke Waste Segregation Facility (WSF).

"Di WSF sisa pepejal diasingkan antara sisa boleh dibakar dengan sisa tidak boleh dibakar, manakala air larut resap (leachate) akan dihantar ke Fully Anaerobic Bioreactor System (FABIOS)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sisa boleh dibakar akan dihantar ke WTE dan menghasilkan tenaga diperbaharui manakala sisa tidak boleh dibakar akan dilupuskan di sel sisa lengai.

Menurutnya, teknologi di fasiliti berkenaan bukan sahaja mampu menguruskan sisa pepejal dengan lebih sistematik, malah dapat menjimatkan tenaga selain mampu mengekalkan kehijauan bumi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:59 PM