Exco Pertanian Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Pertanian, Dr Afif Bahardin (kanan) meninjau keadaan kolam tadahan air sampah ketika membuat lawatan kerja sehari di pusat pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Exco Pertanian Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Pertanian, Dr Afif Bahardin (kanan) meninjau keadaan kolam tadahan air sampah ketika membuat lawatan kerja sehari di pusat pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Muhammad Shalaby Shahbuddin


AIR larut resap (leachete) dari tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal bukan sahaja dipercayai menyebabkan pencemaran kepada perairan dan kawasan sekitarnya, malah menyebabkan kerugian besar kepada 186 penternak ikan dalam sangkar di kawasan terbabit sejak 2013.

Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Sangkar Laut Sungai Udang, Tioh Tiang Lai berkata, selain itu, ia turut menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitar malah menjejaskan kualiti air perairan itu hingga hidupan laut turut terkesan.

Menurutnya, air berkenaan yang tidak diproses disalurkan ke kolam hanya menggunakan timbunan tanah merah sebagai tebing penahan bagi mengelakkan ia terkeluar.

"Air larut resap itu yang mengalir ke laut bukan sahaja menyebabkan kehidupan laut pupus, malah punca pendapatan nelayan turut terjejas.

"Pihak kontraktor tapak pelupusan terbabit perlu membayar pampasan bermula dari 2013 membabitkan nilai lebih RM86 juta untuk semua penternak ikan dalam sangkar yang terjejas sehingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin yang melawat dan meninjau keadaan tapak pelupusan sampah itu, hari ini.

Dalam pada itu, Tioh berkata, pihaknya turut mengemukakan permohonan kepada Dr Afif mengenai peruntukan bantuan makanan ikan bagi penternak ikan dalam sangkar yang mengalami kerugian akibat kebocoran air larut resap dari tapak pelupusan terbabit.

Menurutnya, perkara itu sudah disuarakan berkali-kali kepada pihak kontraktor yang menjalankan kerja di tapak pelupusan sampah berkenaan, namun tiada tindakan sewajarnya dilakukan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Dr Afif berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan beberapa pihak berkenaan bagi mengenal pasti faktor atau punca bagi permasalahan dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, penjelasan daripada beberapa pihak berkaitan diperlukan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kerana masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:39 PM