GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pembinaan loji rawatan termal (insinerator) adalah alternatif dalam melupuskan sisa pepejal dan sampah yang tidak boleh dikitar semula atau dikompos serta membantu mengurangkan masalah bau, sekali gus berupaya menangani isu 'leachate' atau air larut resap di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, selain itu ia membabitkan ruang lebih kecil berbanding saiz bagi tapak pelupusan serta boleh menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Menurutnya, insinerator juga tiada masalah untuk dibina di kawasan berhampiran penduduk dan perindustrian namun ia memerlukan perancangan serta sokongan pengoperasian yang lebih sistematik dengan mengambil contoh dilakukan negara maju.

"Insinerator lebih moden dan sistematik berbanding tapak pelupusan sanitari, kaedah lama dan ia perlu memandangkan ada sisa domestik yang tidak boleh dikitar semula.

"Teknologi itu boleh membantu mengurangkan bau tetapi kita perlu penyelesaian menyeluruh termasuk mengasingkan sisa terlebih dahulu di rumah.

"Proses degradasi di tapak sanitari mengambil masa yang lama untuk mengurai selain berpotensi mengganggu aliran air bawah tanah sekali gus menyebabkan pencemaran," katanya.

Menurut beliau, insinerator diperlukan selaras perubahan gaya hidup, kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk.

Malah, katanya, kerajaan boleh mengambil contoh inisiatif di Bangkok, Thailand dan Jakarta, Indonesia yang memiliki insinerator berdekatan kawasan perumahan dan perindustrian dengan menggerakkan sesi babit urus bersama komuniti setempat.

"Bagaimanapun, kita akui ada logik kebimbangan penduduk terhadap kacau ganggu ketika pembinaan, pengoperasian dan kemampanan kawasan setempat sedangkan membina di lokasi yang jauh dari penempatan mungkin tidak ekonomik.

"Dalam aspek keselamatan dan kesihatan, teknologi terkini sudah berjaya mengurangkan risiko bahan toksik daripada insinerator, malah pastinya akan ada agensi khusus yang akan memantau operasi itu nanti," katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan berkaitan enggan mengulas lanjut berkaitan pembinaan insinerator terbabit.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, lebih 20 persatuan komuniti mewakili kira-kira 100,000 penduduk membantah cadangan projek pembinaan insinerator baharu di Lot 3847 di Rawang kerana ia dikatakan memberi impak sosial selain berhampiran rumah ibadat, kediaman dan sekolah.

Mereka mendakwa, ia akan menyebabkan bau busuk daripada sisa buangan, kesesakan lalu lintas kerana banyak lori sampah akan melalui kawasan itu setiap hari sekali gus nilai tanah dan hartanah menyusut serta kehilangan kawasan hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 2:57 PM