FASHA Sandha. FOTO @aswadbakri
FASHA Sandha. FOTO @aswadbakri
Rudy Imran Shamsudin


Sejak kembali solo, kehadiran lelaki dalam hidup aktres jelita, Fasha Sandha, 33, sering menjadi tumpuan. Terbaru, Fasha yang juga ibu dua anak, dikaitkan dengan lelaki digelar ‘ustaz rock’.

Berita itu mula tersebar apabila dia dilihat hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran Fasha pada Mac lalu tetapi pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Anak Halal itu menjelaskan, dia dan lelaki dimaksudkan hanyalah teman biasa.

Hubungannya dengan ‘ustaz rock’ sekali lagi hangat diperkatakan apabila mereka dilihat hadir bersama pada majlis persandingan Ummi Nazeera.

Tambah pula beberapa minggu sebelum itu, ibu tunggal dua cahaya mata ini mengakui ada rakan lelaki yang rapat dengannya mengucapkan kata rindu.

Berita berkenaan juga hangat diperkatakan dalam kalangan netizen sehingga mendapat perhatian kebanyakan portal dan blog hiburan.

Meredakan keadaan, sekali lagi Fasha tampil menegaskan, dia dan lelaki digelar ‘ustaz rock’ itu hanya kawan biasa dan tiada kaitan soal hati dan perasaan.

Walaupun lelaki itu pernah meluahkan rasa rindu kepadanya, Fasha menganggap ia hanyalah ungkapan rindu seorang teman kepada sahabatnya.

Terbaru, lelaki itu dilihat memuat naik nyanyiannya di laman sosial Instagram dengan menyebut-nyebut nama Fasha.

Bling! cuba menyelami hati Fasha apakah ibu kepada Putra Rayfal dan Puteri Raysha Jemaima Ramli Rizal Ashram ini sedang berbunga-bunga di hatinya?

Fasha akui sebaik perkara itu hangat diperkatakan, ramai mendoakan perkara yang baik untuk mereka berdua tetapi katanya, dia dan lelaki itu masih dalam fasa berkawan.

“Saya sendiri tidak mahu terikat dengan komitmen cinta buat masa sekarang kerana jadual kerja saya yang begitu padat sehingga awal tahun hadapan.

“Andainya saya memberikan ruang untuk menjadi kekasih, pastinya saya tidak ada waktu untuknya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fasha dia memang senang berkawan dengan sesiapa saja dan buat masa sekarang bukan lelaki yang digelar ‘ustaz rock’ itu saja yang bersahabat baik dengannya.

“Saya tidak mahu memberikan harapan kepada sesiapa buat masa ini. Saya senang dengan hidup sekarang dengan membangunkan kembali kerjaya seni yang sedang berkembang dengan sangat positif,” katanya.

Dari sudut lain, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan akui dia sangat berhati-hati apabila memikirkan soal teman lelaki dan bernikah kerana tidak tahu sejauh mana mereka yang hadir dalam hidupnya benar-benar ikhlas.

“Tidak dinafikan boleh dikatakan semua lelaki yang cuba memenangi hati saya itu baik. Mereka terlalu baik tetapi saya lebih senang meletakkan had sebagai kawan. Pada saya apabila kami menjadi kawan, ia akan kekal berbanding menjadi kekasih,” katanya.

Ambil masa serasi dengan Zarul

Drama bersiri 100 episod, Lara Aishah yang disiarkan sejak Ogos 2016 dan berakhir Januari 2017, berjaya mengangkat kembali populariti Fasha Sandha.

Ada yang mendakwa disebabkan populariti diraih Fasha menerusi Lara Aishah juga sedikit sebanyak membantunya meraih anugerah Pelakon Filem MeleTOP, pada malam Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME 2017).

Komitmen Fasha hingga sanggup memotong rambut panjang paras pinggangnya hingga pendek turut menjadi faktor pembantu untuk menang di AME 2017.

Terbaru, Fasha menjayakan pula drama 80 episod, Syurga Yang Kedua yang kini menjalani penggambaran. Baginya jalan cerita drama itu cukup bagus dan karakter yang sangat kuat.

“Watak Venida juga kuat dan ia mengingatkan saya kepada karakter Cinta Chanduri, watak yang menjadi fenomena dalam drama Chinta yang pernah saya jayakan.

“Watak Venida ini sangat kuat apabila pada peringkat awal cerita, dia seorang yang sangat baik tetapi mula berubah sikap dan memberontak disebabkan situasi,” katanya.

Fasha juga tidak kisah menjalani penggambaran yang memakan masa sangat panjang. Baginya, bekerja dalam tempoh panjang bukan malah kerana pernah menjalani tempoh penggambaran selama lapan bulan untuk Lara Aishah. Kali ini hanya empat hingga lima bulan.

Digandingkan dengan Zarul Husin yang kini semakin aktif berlakon, Fasha tidak menafikan pada peringkat awal bekas penyanyi utama kumpulan Umbrella itu agak kekok dan gugup.

“Jujur, saya sendiri pada peringkat awal berasa bimbang kerana sewaktu saya menerima tawaran diberikan yang bakal menjayakan watak utama lelaki adalah orang lain.

“Kemudian apabila dikatakan diganti Zarul, saya risau disebabkan semua karakter utama dalam Syurga Yang Kedua sangat berat. Saya takut andai persembahan tidak seimbang, ia akan memberi kesan kepada watak saya.

“Bagaimanapun, selepas beberapa hari seluruh pasukan kerja berbincang, kebimbangan saya hilang apabila Zarul semakin hari semakin bagus dan dapat menjayakan karakternya dengan baik.

“Apabila keserasian antara saya, Zarul dan seorang lagi watak penting dijayakan Siti Elizad wujud dan masing-masing selesa, lakonan dipersembahkan Zarul, saya akui sangat bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 3:18 AM