HAFIZH (kanan) ambil keputusan  tinggalkan  pasukan kerana berdepan masalah dalaman. FOTO EPA-EFE
HAFIZH (kanan) ambil keputusan tinggalkan pasukan kerana berdepan masalah dalaman. FOTO EPA-EFE
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya tetap akan bersama pasukan baru.”

Itu pendirian pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang kekal dengan keputusan untuk berhijrah ke pasukan baru musim depan.

Meskipun berjaya meraih podium ketiga bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia di Grand Prix (GP) San Marino kelmarin selepas hampir empat tahun mencuba, Hafizh nyata sama sekali tidak berganjak daripada keputusannya untuk berpindah.

Justeru, jelas pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu, dia akan memberikan yang terbaik pada baki lima perlumbaan selepas ini sebagai hadiah perpisahan untuk pasukan yang banyak membantu membina kariernya itu.

“Seperti pusingan sebelum ini, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan juga PETRONAS.

“Kejayaan ini menuntut saya untuk terus berusaha lebih gigih pada perlumbaan seterusnya dan menjadi seorang pelumba yang lebih baik.

“Sasaran utama selepas ini adalah untuk cuba meraih keputusan paling baik pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya yang turut mensasarkan podium di Sepang.

Selepas hampir empat musim penuh beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), pelumba berusia 23 tahun itu akhirnya meraih podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP San Marino.

Kejayaan itu adalah yang pertama untuk Hafizh di luar Malaysia selepas sering hampir untuk menaiki podium sebelum ini.

Dia pernah menduduki tangga ketiga pada 2012 di SIC ketika beraksi menerusi tiket wild card dan kemenangan itu hanya diperoleh selepas kira-kira setahun kerana pelumba yang meraih podium kedua ketika itu, Anthony West gagal ujian doping.

Hafizh mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan sekarang kerana berdepan masalah dalaman dengan individu tertentu.

Kedudukannya pada musim depan terjawab selepas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mengesahkan pihaknya berminat untuk mendapatkan khidmat pelumba itu bersama pasukan baru yang akan diwujudkan bagi menghadapi saingan Moto2 musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 3:52 AM