Kemalangan mengorbankan IMAM Masjid Amar Penghulu, Jelebu, yang dalam perjalanan untuk mengimamkan Solat Jumaat. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan mengorbankan IMAM Masjid Amar Penghulu, Jelebu, yang dalam perjalanan untuk mengimamkan Solat Jumaat. FOTO ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


IMAM Masjid Amar Penghulu, Jelebu, yang dalam perjalanan untuk mengimamkan solat Jumaat maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Seremban-Simpang Pertang, dekat Kuala Klawang, tengah hari ini.

Abdul Ghani Dusa, 79, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang yang juga orang kurang upaya (OKU), Mustafa Maarop, 47, cedera dan dirawat di Hospital Jelebu.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa menunggang motosikal Honda Dash dari rumahnya di Batu 17, Ulu Klawang untuk ke masjid.

"Mangsa dipercayai mahu membelok ke kiri sebelum dilanggar sebuah motosikal SYM yang datang dari arah sama.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta. Siasatan di lokasi mendapati jalan berkenaan menuruni bukit," katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 10:46 PM