Amir Abd Hamid melaporkan dari Baitulmaqdis dan Palestin


Baitulmaqdis, Palestin: Yayasan Al Amin selesai menyempurnakan amanah membawa jemaah ziarah dari Malaysia ke Masjid Al Aqsa selain ibadat korban membabitkan 32 lembu dan seekor kambing sempena Aidiladha.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin atau Ustaz Amin berkata pihaknya bersyukur apabila lebih 200 keluarga Palestin yang kesusahan sudah mendapat bahagian daging korban itu.

Ustaz Amin berkata, pihaknya sudah berpesan kepada pemilik binatang ternakan berkenaan supaya menyediakan sekurang-kurangnya 30 lembu yang gemuk dan sihat bagi ibadah korban tahun depan.

“Purata berat bagi seekor lembu yang sudah sempurna pelaksanaan ibadah korban itu adalah seberat 500 kilogram.

“Agihan daging korban adalah kepada orang Palestin susah, fakir miskin dan sangat memerlukan,” katanya.

Yayasan Al Amin turut membawa sumbangan untuk rakyat Palestin secara berterusan.

REMAJA Palestin menyediakan roti untuk dijual di sekitar kompleks Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid
REMAJA Palestin menyediakan roti untuk dijual di sekitar kompleks Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid

Sumbangan menerusi akaun Maybank 5622 7260 3690 (Yayasan Al Amin). Maklumkan sumbangan menerusi e-mel kepada [email protected] atau hubungi pejabat yayasan di talian 03-55232296.

Ustaz Amin yang juga Pengarah Urusan ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd yang mengendalikan rombongan ziarah dan korban sempena Aidiladha kali ini berkata, mengenai ziarah ke masjid ketiga suci dalam Islam ini bukanlah melancong.

“Kita hadir ke sini sebab menyahut seruan Nabi Muhammad SAW iaitu sabda baginda bermaksud kalau kamu nak bersusah-payah maka bersusah-payahlah datang ke tiga masjid iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

“Kita datang sini untuk belajar sejarah Islam dan sejarah Nabi. Ayat al-Quran mengenai nabi dan lihat sendiri di mana tempatnya.

“Sebab itu menamakan perjalanan ini sebagai Universiti Kehidupan,” katanya.

Menurutnya, selama tujuh hari di Palestin bumi anbia yang juga dikenali pintu alam ghaib termasuk peristiwa Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa diangkat ke langit, rombongan peserta belajar tersurat dan tersirat.

USTAZ Amin (dua dari kiri) ketika menyampaikan tazkirah di  Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid
USTAZ Amin (dua dari kiri) ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid

Ustaz Amin berkata, contoh tersurat adalah fakta peristiwa itu dan bukti-buktinya manakala tersirat contohnya seperti kepentingan menjaga negara bagi anak muda.

“Hindarkan rasuah, antara penyebab kewujudan Israel di benua Arab adalah rasuah berleluasa sehinggalah banyak negara tergadai.

“Melihat kesan peninggalan sejarah perang antara Arab dan Israel juga kita belajar sekiranya wujud pengkhianat dalam negara perlu dibanteras segera,” katanya.

Mengenai ziarah ke Baitulmaqdis, statistik menunjukkan hanya 30,000 orang Islam datang ke kota suci ini setahun berbanding tiga juta orang bukan Islam untuk tempoh sama.

“Datanglah ke Masjid Al-Aqsa bukan sahaja untuk menambah tauhid kepada Allah malah secara langsung membantu ekonomi orang Islam.

“Ini kerana rantaian ekonomi Islam berkembang pesat dengan kedatangan kita termasuk menggunakan perkhidmatan dan produk orang Islam termasuk restoran, perhotelan dan pengangkutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:07 AM
PROSES sembelih  dan melapah yang dilakukan di rumah sembelihan di Palestin. FOTO Amir Abd Hamid
PROSES sembelih dan melapah yang dilakukan di rumah sembelihan di Palestin. FOTO Amir Abd Hamid