Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jemaah Malaysia yang menyertai rombongan ziarah Masjid al-Aqsa bersyukur apabila berpeluang merasai pengalaman paling berharga meraikan kemenangan Palestin dan umat Islam sedunia apabila rejim Zionis mengalah dan seterusnya menanggalkan peralatan keselamatan di semua pintu masuk tempat ketiga suci dalam Islam.

Ketua rombongan ziarah 20 jemaah anjuran Yayasan Al Amin, Ustaz Ahmad Fikri Akmal, 24, berkata, ahli rombongan ziarah turut berarak selepas Israel menarik balik langkah keselamatan kontroversi dengan menanggalkan alat pengesan logam dan kamera pintar, Khamis lalu.

Beliau juga sempat merakamkan video rakyat Palestin bergembira dapat masuk ke Masjid al-Aqsa sebelum Maghrib petang Jumaat lalu tanpa sekatan had umur berbanding hanya 50 tahun ke atas dikenakan rejim Zionis sebelum ini.

“Syukur, jemaah Malaysia bersama raikan kemenangan terkini rakyat Palestin khususnya umat Islam terhadap cengkaman rejim Zionis ke atas Masjid al-Aqsa.

“Secara peribadi, sukar saya nak gambarkan sebab dua kali kunjungan ke Haram Al-Sharif sebelum ini dapat masuk tanpa sekatan ketat.

“Apabila semua dapat masuk Masjid al-Aqsa, baru kita betul-betul tahu apa yang selama ini dirasai rakyat Palestin. Kemenangan ini milik semua umat Islam seluruh dunia,” katanya, di sini, semalam.

Ziarah selama lapan hari enam malam termasuk perjalanan dari Malaysia ke Tanah Suci Masjid al-Aqsa kendalian ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd itu bermula sejak 25 Julai lalu dan rombongan berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.45 malam ini.

Sempena Aidiladha September depan, Yayasan Al Amin juga melaksanakan program ibadat korban di Palestin dengan menawarkan kadar RM1,900 perbahagian.

Orang ramai yang mahu memburu pahala ibadat korban di Palestin boleh menghubungi Ustaz Ahmad Fikri di talian 0133343643 atau talian pejabat Yayasan Al Amin 0355232296.

Daging korban diuruskan oleh Yayasan Al Amin dan agihan dibuat kepada pelarian Palestin yang memerlukan. Bagi yang berminat boleh melayari laman web www.yayasanalamin.com

Israel menawan Baitulmaqdis Timur, termasuk Kota Lama dan pekarangan Haram Al-Sharif dalam Perang 1967 sebelum mengisytiharkan kawasan itu sebahagian ibu negaranya.

Perisytiharan itu bagaimanapun tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:20 AM
IMAM Masjid al-Aqsa Masjid al-Aqsa Syeikh Yusuf Abu Sneinah (kiri) memeluk jemaah Malaysia.
IMAM Masjid al-Aqsa Masjid al-Aqsa Syeikh Yusuf Abu Sneinah (kiri) memeluk jemaah Malaysia.
PENDUDUK Palestin berkumpul dan berarak di sekitar Masjid al-Aqsa sebagai meraikan kemenangan apabila rejim Zionis  mengalah menanggalkan peralatan keselamatan di semua pintu masuk masjid itu.
PENDUDUK Palestin berkumpul dan berarak di sekitar Masjid al-Aqsa sebagai meraikan kemenangan apabila rejim Zionis mengalah menanggalkan peralatan keselamatan di semua pintu masuk masjid itu.