“MENJADI harapan saya untuk berdoa dan memohon kepada Allah semoga penyakit ibu saya dapat sembuh sepenuhnya,” kata jemaah OKU, Umor Abd Rahman, 59. IHSAN Tabung Haji
“MENJADI harapan saya untuk berdoa dan memohon kepada Allah semoga penyakit ibu saya dapat sembuh sepenuhnya,” kata jemaah OKU, Umor Abd Rahman, 59. IHSAN Tabung Haji
Nasharuddin Muhammad di Makkah


BIARPUN keadaan fizikalnya tidak seperti insan lain, namun demi kasih terhadap ibu tercinta memberi kekuatan dan semangat kepada pesara imigresen, Umor Abd Rahman, 59, untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Menurutnya, biarpun berdepan kesukaran untuk berjalan disebabkan keadaan kakinya yang cacat sejak lahir, namun seboleh-bolehnya dia mahu melakukan ibadat sendiri tanpa bantuan orang lain.

Katanya, penderitaan ibunya, Che Som Ahmad, 80, yang menghidap kemurungan memberikan kekuatan dan semangat kepadanya untuk dia lebih tabah dan cekal menghadapi cabaran di Tanah Suci.

"Memang menjadi harapan saya untuk berdoa dan memohon kepada Allah semoga penyakit ibu saya dapat sembuh sepenuhnya.

"Sebab itu, sebaik ditawarkan ke Tanah Suci menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini, saya begitu teruja walaupun tahu cabaran perlu dilalui," katanya yang datang bersama isteri, Shahrani Talib, 52, seorang guru serta abang dan kakak iparnya.

Katanya, demi ibunya juga, dia sanggup berulang-alik dari rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan ke kampungnya di Dangi, Johol, tiga kali seminggu.

"Sudah menjadi rutin saya terutama selepas bersara awal ini berulang-alik ke kampung melawat ibu dengan menunggang motosikal," katanya yang mempunyai empat anak.

Menurutnya, sepanjang beribadat di Tanah Suci, dia perlu menguatkan semangat dan seboleh-bolehnya mahu melakukannya sendirian tanpa dibantu sesiapa.

"Alhamdulillah, ketika tawaf saya dapat berjalan sendiri, cuma saie terpaksa menggunakan kerusi roda yang ditolak abang.

"Begitu juga dari maktab penginapan ke Masjidilharam sejauh kida-kira 900 meter, saya cuba berjalan bersama tetapi kalau tidak larat, terpaksa menaiki teksi separuh jalan.

"Sehingga ini, semuanya berjalan lancar kerana ramai yang bersedia membantu termasuk anggota keselamatan yang bertugas di Masjidilharam.

"Ketika tawaf, biarpun keadaan sesak dengan ramai jemaah dari seluruh dunia tapi Alhamdulillah orang seperti saya sentiasa diberikan laluan," katanya yang tiba di kota suci ini sejak 4 Ogos lalu.

Katanya, dia berlepas ke Tanah Suci pada 27 Julai lalu dan terus ke Madinah sebelum bertolak ke Makkah.

Sementara itu, Shahrani berkata, suaminya seorang yang kuat semangat biarpun keadaan fizikalnya kurang sempurna.

Menurutnya, biarpun berdepan pelbagai cabaran di Tanah Suci ini, namun dia sentiasa memberikan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:54 AM