PAULINHO (kiri) tambah derita Ecuador.
PAULINHO (kiri) tambah derita Ecuador.
Reuters

Sao Paulo: Gol pada babak kedua menerusi Paulinho dan pemain gantian, Philippe Coutinho menyelamatkan Brazil selepas permulaan buruk untuk menang 2-0 ke atas Ecuador di Porto Alegre.

Selepas 23 minit di babak kedua, Paulinho yang tidak dikawal, mempunyai cukup masa untuk memegang bola dan melepaskan rembatan ke penjuru kanan gawang lawan dari jarak lapan meter.

Coutinho yang masuk menggantikan Renato Augusto beberapa minit sebelum itu, menghasilkan gol kedua selepas bertukar hantaran dengan Gabriel Jesus.

Keputusan itu bermakna, Brazil muncul pasukan pertama dari zon kelayakan Amerika Selatan yang layak ke pusingan akhir di Russia dan menduduki tangga teratas kumpulan selepas mengumpul 36 mata selepas 15 perlawanan, 11 mata mengatasi pasukan di tempat kedua, Colombia.

“Ia satu lagi keputusan yang penting, perjalanan kami setakat ini amat baik,” kata pemain sayap, Willian. “Babak pertama memang sukar, kami tidak dapat mencari ruang tetapi di babak kedua, kami berjaya bergerak dan mencari jaringan.”

Kemenangan itu adalah yang kesembilan berturut-turut buat jurulatih, Tite dalam perlawanan kompetitif sejak beliau mengambil alih pasukan pada Jun tahun lalu. Setakat ini, pasukannya meledak 26 gol dan hanya melepaskan dua.

Sementara itu, Ecuador berdepan aksi mengecewakan selepas menang semua empat perlawanan kelayakan. Kelab Andean itu hanya mampu mengumpul mata maksimum dalam dua daripada 11 perlawanan dan keputusan terbaru menyaksikan mereka kini menduduki tangga ketujuh kumpulan.

Brazil tidak pernah tewas aksi kelayakan Piala Dunia di tempat sendiri dan mereka langsung tidak digugat oleh Ecuador pada perlawanan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 5:25 AM