PENJAGA gol Venezuela Wuilker Farinez (kanan) hanya dapat menyaksikan Rolf Feltscher (tengah) jaringkan gol sendiri ketika menentang Argentina. -Foto AFP
PENJAGA gol Venezuela Wuilker Farinez (kanan) hanya dapat menyaksikan Rolf Feltscher (tengah) jaringkan gol sendiri ketika menentang Argentina. -Foto AFP
AFP

MONTEVIDEO: Impian Argentina dan Chile layak ke pusingan akhir Piala Dunia Russia 2018 bagai telur di hujung tanduk apabila dua pasukan gergasi Amerika Selatan itu keciciran mata lagi.

Argentina memerlukan gol sendiri babak kedua bagi membantu mereka seri 1-1 dengan Venezuela yang sudah tersingkir di Buenos Aires manakala Chile mengalami kekalahan 0-1 kepada Bolivia di La Paz.

Keputusan itu menyebabkan naib juara Piala Dunia 2014, Argentina dan penyandang juara Copa America, Chile berada di luar tempat kelayakan automatik sekali gus mencetus debar dua baki perlawanan bulan depan.

Argentina di tangga kelima kedudukan dengan 24 mata daripada 16 perlawanan manakala Chile di tangga keenam dengan 23 mata.

Argentina - yang berdepan aksi playoff menentang New Zealand jika mereka kekal di tangga kelima - menanti kunjungan pasukan tangga keempat Peru di Buenos Aires bulan depan sebelum perlawanan terakhir di altitud menentang Ecuador.

Chile pula berdepan Ecuador di Santiago pada 5 Oktober depan sebelum menuju ke Brazil bagi aksi terakhir kelayakan lima hari kemudian.

Di puncak carta, Brazil sudah layak dan memastikan tempat mereka di tangga pertama. Mereka meraih satu mata lagi awal pagi tadi selepas seri 1-1 dengan pasukan tangga ketiga Colombia di Barranquilla.

Gol voli hebat Willian memberikan Brazil jaringan pendahuluan pada masa kecederaan babak pertama sebelum Colombia bangkit berkongsi mata dengan persembahan hebat pada babak kedua disudahi dengan gol tandukan penyamaan Radamel Falcao.

Di Buenos Aires, jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mengakui pasukannya mensia-siakan peluang keemasan untuk melonjak ke dalam kelompok kelayakan automatik berikutan kekalahan Chile.

Sampaoli menyalahkan penyudah tumpul pada babak pertama menjadi punca pasukannya gagal meraih tiga mata menentang Venezuela.

“Kami mempunyai baki dua perlawanan menentang Peru dan Ecuador dan kami mesti menang kedua-duanya,” kata Sampaoli. “Kami berpeluang meledak tiga gol pada babak pertama dan semuanya patut diselesaikan.”

“Kami perlu terus berjuang di bahagian serangan dan memberikan semangat kepada pemain.”

Serangan balas pantas Venezuela menghasilkna gol pertama pada minit ke-51 menerusi Jhon Murillo namun Argentina membalas tiga minit kemudian apabila pertahanan pelawat Rolf Feltscher tertampan masuk ke dalam gol sendiri hantaran lintang Marcos Acuna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 1:11 PM