Asrizal Aris


 

"SIAPA tak terkejut lebih tiga juta tontonan dalam tempoh tidak sampai dua hari sedangkan tiada langsung niat untuk tunjukkan pada orang ramai.

"Perkara itu hanya untuk saya pastikan pertunangan berjalan lancar dan keluarga saya bertemu dengan pihak yang betul kerana mereka tidak pernah berjumpa," kata Muhammad Idham Aisha, 27, pemuda yang tular bersama pasangannya Nur Amirah Mohammad Noor, 25, selepas video dan beberapa gambar mereka mengadakan majlis pertunangan jarak jauh dimuat naik di laman sosial sejak Selasa.

Muhammad Idham yang bekerja di Yokohama, Jepun, mengadakan majlis pertunangan itu dengan menggunakan aplikasi panggilan video Skype dan mahu memberi kejutan kepada ibu dan bapanya yang tidak pernah berhubung menggunakan aplikasi itu.

Bagaimanapun, dia tidak menjangkakan tetamu yang hadir pada majlis itu merakam gambar situasi berkenaan dan menyunting video lalu dimuat naik di laman sosial sehingga menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi netizen.

"Abah dan mak begitu teruja sehingga mengalir air mata apabila melihat saya pada skrin yang disambung daripada komputer riba kerana kali terakhir kami bertemu pada Mac tahun lepas, itu pun hanya beberapa minit.

"Rombongan daripada keluarga saya ketika majlis pertunangan itu tidak mengetahui rancangan saya untuk membuat panggilan video yang diuruskan oleh keluarga Amirah.

"Namun bukan saya atau Amirah yang memuat naik gambar dan video majlis itu di laman sosial serta tidak terfikir untuk berkongsi perkara itu kepada umum," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.

Menurut anak ketujuh daripada lapan beradik itu, meskipun terkejut dengan sambutan video majlis pertunangannya yang tular itu, dia menerima dengan hati yang terbuka setiap reaksi positif dan negatif daripada netizen.

"Pada saya perkara ini biasa bagi pengguna Skype. Bertunang jarak jauh menggunakan aplikasi video pun sudah dibuat sejak beberapa tahun dahulu cuma tidak dikongsikan pada umum. 

"Namun saya berterima kasih kepada kedua-dua belah keluarga kerana menguruskan majlis dengan lancar dan paling penting abah dan mak gembira.

"Jangan risau, bernikah nanti kami tak buat lagi. Saya sendiri yang bertandang dan berpantun tanpa menggunakan aplikasi dalam talian," katanya yang bekerja di bawah agensi pengiklanan di Jepun.

Sementara itu, Nur Amirah berkata, pihaknya tidak berkecil hati dengan mereka yang memberi kecaman kerana secara tidak langsung video itu boleh berkongsi kegembiraan kedua-dua belah keluarga.

"Perkongsian itu menunjukkan kami mendapatkan restu daripada orang tua kami sendiri dan berharap orang yang melihatnya doakan kami yang terbaik sehingga kami diijabkabulkan.

"Kami sendiri tidak sangka ia tular selepas dimuat naik oleh Chickaboo.my. Terima kasih kepada yang menyukainya dan mendoakan kami," katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bio Perubatan itu.

Menurutnya, dia dan Idham berkenalan ketika majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Tokyo pada tahun lalu apabila dia menyertai program pertukaran pelajar di Jepun sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengenali secara serius.

Menurut pasangan ini, mereka masih belum menetapkan tarikh perkahwinan namun menjangkakan majlis itu diadakan sekitar Aidilfitri tahun hadapan. 

Sabtu lalu, majlis pertunangan Muhammad Idham dan Nur Amirah diadakan di Bukit Rambai, Melaka dan gambar serta video majlis itu menerima lebih 3.5 juta tontonan dan 50,000 perkongsian.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 10:34 PM
Amirah dan Idham ketika majlis pertunangan mereka Sabtu lalu. FOTO ihsan FB Chickaboo.my
Amirah dan Idham ketika majlis pertunangan mereka Sabtu lalu. FOTO ihsan FB Chickaboo.my