Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mendapat pengesahan status Ketua Militan Malaysia berpengkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi yang dikatakan terkorban dalam serangan dron di Ma'dan, Syria, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini PDRM masih cuba berhubung dengan sumber untuk mendapatkan pengesahan mengenai berita itu.
"Semua tahu siapa Wanndy, dia berjuang di Syria dan memberikan arahan kepada rangkaiannya di negara ini namun semua arahannya dapat kita pintas.
"Kalau sah berita ini, ia adalah berita baik dalam mememerangi keganasan dan sebaik mendapat pengesahan, polis akan mengumumkannya," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, hari ini.
Berita mengenai kematian Muhamad Wanndy dilaporkan media selepas isterinya dikatakan menulis status memberitahu suaminya meninggal dunia dalam serangan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak berkuatkuasa hari ini.
Hasnan menggantikan Datuk Seri Abd Rahim Hanafi yang dinaikkan pangkat dan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Dalam majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak menggantikan Hasnan.
Turut diadakan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak antara Datin Seri Ramlah Mahmod dengan Datin Zuriani Mohd Kamal yang baru dilantik dan Naib Pengerusi PERKEP Perak antara Zuriani dengan Datin Norrizah Nordin.
Majlis itu disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Seri Shahriza Saad.