Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh melupakan hasrat untuk beraksi pada pusingan zon timur Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) dari 18 November hingga 13 Disember depan di Doha, Qatar apabila kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polisi berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua pihak dan turut tertakluk kepada pasukan bola sepak di negara ini.

Beliau berkata, polisi berkenaan turut membabitkan pergerakan menteri yang turut dilarang keluar daripada negara walaupun atas urusan rasmi kerajaan.

"Polisi kita sama iaitu pintu sempadan masih ditutup iaitu warga asing tak boleh masuk manakala rakyat kita pula tidak dibenarkan keluar. Polisi ini juga tertakluk kepada semua pihak termasuk pasukan bola sepak.

"Kita tidak tahu Prosedur Operasi Standard (SOP) di luar negara. Pasukan bola sepak tidak dibenarkan kerana tertakluk kepada sempadan negara iaitu ditutup, rakyat tidak dibenarkan malah menteri pun tidak dibenarkan.

"Dalam kes bola sepak tidak dibenarkan untuk menjamin keselamatan kerana tidak tahu SOP yang ditetapkan di luar negara dan saya mengetahui ada pasukan negara kita akan ke Doha dan itu tidak dibenarkan," katanya, dalam sidang media, sebentar tadi.

ACL Zon Timur akan disambung semula dari peringkat kumpulan dan berterusan hingga ke pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir dengan Final ACL adalah pada 19 Disember depan.

JDT Kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dan masih berbaki empat perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 November, menentang Suwon Samsung Bluewings, Korea Selatan (25 November), melawan Vissel Kobe, Jepun (1 Disember) dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande tanggal 4 Disember.

JDT sudah mengharungi dua perlawanan dengan tewas kepada Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri, 3 Mac lalu.

Semua perlawanan ACL 2020 pada peringkat kalah mati r mulai pusingan kedua, akan dimainkan secara satu pusingan sahaja, begitu juga perlawanan akhir yang dijadualkan di rantau Asia Barat, tidak seperti edisi terdahulu dengan format timbal balik.

PEMAIN JDT, Mauricio Dos Santos Nascimento (kiri) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan ketika perlawanan Liaga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Mac lalu. FOTO NSTP
PEMAIN JDT, Mauricio Dos Santos Nascimento (kiri) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan ketika perlawanan Liaga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Mac lalu. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 6:30 PM