PEMERHATIAN terperinci tetap dilakukan doktor pakar walaupun menggunakan kaedah robotik.
PEMERHATIAN terperinci tetap dilakukan doktor pakar walaupun menggunakan kaedah robotik.
Hafiz Ithnin

KANSER pankreas antara kanser yang menyebabkan kadar kematian paling tinggi yang dilaporkan di Malaysia dengan anggaran dua daripada 100,000 individu menghidapinya sepanjang hidup mereka.

Ia mungkin tidak lazim seperti kanser kolon, payudara atau paru-paru, tetapi kanser pankreas memberi prognosis yang tidak baik kerana kebiasaannya ia lambat dikesan.

Perunding Pakar Bedah Hepatopankreatobiliari (HPB) di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Profesor Dr Yoong Boon Koon berkata, satu-satunya cara rawatan seperti yang disarankan ialah menjalankan pembedahan pankreas untuk membuang sel kanser apabila ia dikesan awal atau sebelum sel berkenaan bertukar menjadi barah.

Jelasnya, kebiasaannya kaedah rawatan ini akan disusuli dengan kemoterapi. Jika kanser terletak pada ekor dan badan pankreas, maka pembuangan ekor pankreas, limpa dan tisu limpa di kawasan sekelilingnya menjadi rawatan pilihan.

"Bagaimanapun, jika kanser ditemui di kepala pankreas, pembedahan kompleks yang dikenali sebagai pancreaticoduodenectomy (prosedur Whipple) perlu dilakukan bagi membuang kepala pankreas, duodenum, saluran hempedu dan pundi hempedu.

DENGAN bantuan robot pembedahan seperti da Vinci Xi, pembedahan yang rumit ini boleh dilakukan dengan pendekatan invasif minimum.
DENGAN bantuan robot pembedahan seperti da Vinci Xi, pembedahan yang rumit ini boleh dilakukan dengan pendekatan invasif minimum.

"Prosedur Whipple yang kompleks biasanya dilakukan secara tradisional sebagai pembedahan terbuka. Ia memakan masa antara lima hingga enam jam dan memerlukan kepakaran yang tinggi," jelasnya.

Namun, katanya, kini dengan bantuan robot pembedahan seperti da Vinci Xi, pembedahan yang rumit ini boleh dilakukan dengan pendekatan invasif minimum melalui beberapa potongan kecil bersaiz lubang kunci.

"Kemajuan dalam teknologi robotik ini menyaksikan kejayaan Dr Yoong menjalankan prosedur robotik Whipple menggunakan robot pembedahan generasi keempat, da Vinci Xi, pada 17 Jun lalu di SMC.

"Terkini, hospital swasta ini mempunyai dua unit robot da Vinci Xi dan satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan prosedur Whipple dengan bantuan robotik," katanya.

Katanya, antara tanda kanser pankreas yang paling umum ialah jaundis iaitu keadaan perubatan yang menyebabkan kulit dan bahagian mata putih menjadi kuning, usus tersumbat, hilang selera makan serta susut berat badan atau tidak selesa atau sakit pada abdomen.

KEMAJUAN dalam teknologi robotik menyaksikan kejayaan dalam perubatan.
KEMAJUAN dalam teknologi robotik menyaksikan kejayaan dalam perubatan.

Menurutnya, pesakit yang dikesan dengan tumor prakanser menunjukkan prognosis terbaik dan biasanya hanya dengan pembedahan mampu menyembuhkan penyakit berkenaan.

"Selain itu, pilihan rawatan bagi kanser yang masih berada di bahagian pankreas (tahap satu hingga tiga) adalah kaedah pembedahan diikuti dengan rawatan kemoterapi, manakala bagi kanser yang sudah merebak ke organ lain (tahap empat) dirawat dengan cara kemoterapi paliatif.

"Mereka yang mengalami simptom ini perlu mendapatkan nasihat perubatan secepat mungkin," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kaedah pembedahan menerusi robotik, katanya, pilihan pembedahan invasif minimum itu hanya sesuai untuk pesakit di peringkat awal kanser atau keadaan prakanser.

"Kebanyakan pesakit, kecuali mereka yang mempunyai fungsi paru-paru atau jantung yang lemah dan mengalami masalah kesihatan secara umum, adalah sesuai untuk menjalani prosedur Whipple secara robotik.

PEMBEDAHAN menerusi robotik memberi manfaat.
PEMBEDAHAN menerusi robotik memberi manfaat.

"Bagaimanapun, pesakit yang pernah melakukan beberapa pembedahan di bahagian abdomen boleh menyebabkan pembedahan ini menjadi lebih mencabar," katanya.

Namun begitu, pembedahan dengan bantuan robotik ini mempunyai banyak faedah, misalnya hanya potongan lebih kecil diperlukan berbanding pembedahan konvensional serta ketangkasan lengan robotik yang membolehkan ia berfungsi dengan lebih baik dalam ruang yang dalam dan sempit serta sukar diakses dengan tangan.

"Di samping itu, kejelasan imej kamera yang dikawal robotik juga membuatkan anatomi badan dapat dilihat dengan lebih jelas, sekali gus mampu mengelakkan sebarang kecederaan berlaku semasa prosedur.

"Secara tidak langsung, pemulihan pesakit menjadi lebih cepat dan mampu discaj lebih awal kerana luka yang lebih kecil dan gangguan fisiologi yang kurang. Pesakit mengalami kurang kesakitan dan risiko jangkitan juga berkurangan dengan komplikasi yang lebih rendah, menyebabkan mereka boleh discaj lebih awal," katanya.

Katanya, penggunaan robot dalam pembedahan menawarkan kadar kejayaan yang lebih tinggi apabila pemilihan kes dilakukan dengan betul. Sekiranya berlaku kesukaran untuk meneruskan pembedahan, pakar bedah mempunyai pilihan untuk menukarnya kepada pembedahan terbuka.

PAKAR memantau pembedahan menggunakan robotik.
PAKAR memantau pembedahan menggunakan robotik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 7:00 AM