KORSET terlalu ketat menyebabkan tekanan bahagian tengah tubuh. - FOTO Pexels
KORSET terlalu ketat menyebabkan tekanan bahagian tengah tubuh. - FOTO Pexels
PEMBEDAHAN bagi merawat meralgia paresthetica.
PEMBEDAHAN bagi merawat meralgia paresthetica.
MERALGIA paresthetica antara komplikasi disebabkan memakai pakaian ketat. - FOTO Pexels
MERALGIA paresthetica antara komplikasi disebabkan memakai pakaian ketat. - FOTO Pexels
Nurul Husna Mahmud


Pemakaian korset bukanlah sesuatu yang asing bagi wanita untuk tampil cantik dengan menyembunyikan 'lebihan' atau bonjolan lemak ketika mengenakan baju.

Malah tidak kurang juga segelintir mengenakan korset untuk membentuk tubuh supaya tampil seksi seperti figura selebriti barat, Kim Kardashian.

Tetapi tahukah anda, pemakaian korset dan pakaian terlalu ketat pada tubuh boleh memberi komplikasi buruk kepada kesihatan?

Selain korset, mengenakan tali pinggang, baju 'lateks' atau kain 'spandeks' termasuk seluar 'lengging' terlalu ketat boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan.

Memetik kenyataan daripada Pakar dan Pensyarah Perubatan Sekolah Perubatan Harvard, Boston, Amerika Syarikat, Caroline M Apovian, mengenakan korset yang sangat ketat memberi kesan kepada organ dalaman terutama perut.

"Pemakaian korset yang terlalu ketat boleh menyebabkan perut ditolak melepasi diafragma, serangan refluks dan mengganggu pernafasan, selain menjejaskan kesihatan tulang rusuk.

"Tekanan daripada pemakaian korset yang terlalu ketat bahagian tengah tubuh juga mengganggu aliran darah dan oksigen," katanya.

Pemakaian aksesori dan pakaian terlalu ketat termasuk pakaian dalam dan tali pinggang seperti korset juga boleh memberi kesan yang sama.

Tekanan disebabkan pemakaian baju atau aksesori yang ketat boleh mengganggu sistem limfatik, sistem saluran darah, organ dalam tubuh, otot, tisu penghubung lain dan saraf tertentu.

Sementara itu, satu kes benar-benar berlaku dilaporkan membabitkan seorang wanita Australia berusia 35 tahun mengenakan seluar denim ketat (skinny jeans) mengalami gejala kebas pada kaki sehingga rebah.

Wanita berkenaan melakukan pergerakan berulang-ulang antaranya 'squat' kerana membantu ahli keluarga mengemas barang bagi urusan berpindah rumah.

Pada satu tahap bengkak otot yang dialami menjadi serius sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Doktor menjelaskan tindakan mengenakan seluar denim ketat menyebabkan otot mengembang ke dalam dan memampatkan saluran darah serta saraf.

Jika wanita berkenaan tidak mendapat rawatan kadar segera atau mengabaikan keadaan kaki bengkak itu untuk tempoh lama, kemungkinan besar kerosakan saraf lebih serius.

Saraf yang rosak sukar dipulihkan boleh menjejaskan kesihatan lain antaranya pergerakan dan kepekaan deria tertentu," katanya.

Penyakit yang paling sinonim dengan komplikasi individu mengenakan pakaian terlalu ketat ialah penyakit Meralgia paresthetica.

Meralgia paresthetica adalah keadaan apabila terdapat tekanan tisu sekeliling pada saraf Lateral Femoral Cutaneous (LFCN).

Saraf ini bertindak sebagai penerima rangsangan deria pada permukaan paha luar, sehingga apabila menerima tekanan yang berlebihan akan menimbulkan rasa sakit atau terbakar.

Jika penyakit itu tidak dirawat, keadaan bertambah teruk terutama apabila bahagian pinggul selari dengan kaki.

Pesakit mungkin mengelak daripada berdiri tegak atau mengalami kesukaran tidur. Posisi duduk dikatakan melegakan simptom pada sesetengah pesakit tetapi boleh bertukar menjadi gejala lebih buruk pada orang lain.

Sehingga akhirnya kesakitan akibat Meralgia paresthetica akhirnya menemui jalan buntu kerana tiada lagi posisi boleh melegakan kesakitan mereka.

Bagi merawat penyakit itu, pakar biasanya menggunakan pelbagai kaedah antara terapi fizikal, pengurusan berat badan, rintangan saraf, suntikan dan pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:44 AM