HILANG selera makan isyarat barah gastrik lanjutan semakin teruk.
HILANG selera makan isyarat barah gastrik lanjutan semakin teruk.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Barah gastrik lanjutan ialah sejenis barah perut tahap teruk.

Ia bermula dalam perut dan sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, tulang serta usus.

Penyakit ini tidak boleh disembuhkan, namun boleh dirawat. Bagaimanapun barah itu antara penyebab kematian tertinggi.

Rawatan yang boleh diberikan bertujuan mengawal, mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Pakar Klinikal Onkologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Khairiyah Sidek berkata, barah adalah penyakit yang sangat kompleks.

Menurutnya, tiada hanya satu sebab tertentu yang menjadi punca kepada penyakit itu.

Tetapi kajian mengenal pasti antara faktor risiko penyakit terbabit ialah tabiat dan gaya hidup.

"Antaranya tabiat merokok, minum minuman beralkohol, makanan tinggi kandungan garam atau perasa, pengambilan makanan bersalai berlebihan dan kurang pengambilan sayuran serta buah-buahan.

"Selain itu perlu diingatkan, obesiti juga penyumbang kepada faktor risiko barah ini, terutama barah perut yang berhampiran esofagus. Fakta menakutkan ialah separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan.

"Punca lain ada kaitan dengan jangkitan bakteria iaitu 'Helicobacter pylori' (H pylori).

"Selain itu ada juga disebabkan faktor genetik tetapi tidak tinggi iaitu lebih kurang 10 peratus,"katanya.

Beliau berkata, secara umumnya risiko barah ini meningkat seiring dengan peningkatan usia.

"Namun, ada juga kalangan berusia 40-an dan 50-an didiagnosis menghidap penyakit berkenaan.

"Jika penyakit ini berlaku setempat iaitu tahap satu, peluang hidup selama lima tahun ialah 65 peratus.

Namun kadar ini berkurangan kepada 35 peratus bagi pesakit tahap dua.

"Namun. sekiranya sel barah sudah merebak ke organ lain, maka besar berkemungkinan jangka hayat lebih pendek lagi," katanya.

Dr Khairiyah berkata, sifat barah hanya mahu hidup dan ia sejenis sel tidak normal dalam badan.

Jelasnya, sel barah berbeza dengan sel normal. Sel normal membesar dan membahagi kepada sel baharu.

Sel lama atau rosak secara semulajadi akan mati serta digantikan oleh sel baharu.

"Setiap sel normal mempunyai fungsi tersendiri.

Contoh sel daripada perut berperanan menghasilkan jus asid untuk mencernakan pemakanan.

"Tetapi apabila sel ini menjadi barah dalam perut, maka ia tidak berfungsi seperti yang sepatutnya dan sel berkenaan terus tumbuh membesar tanpa henti.

"Apabila ini terjadi (sel membesar tanpa henti) sel barah memerlukan bekalan makanan daripada saluran darah dan sebagainya.

"Cara sel barah terus hidup ialah merebak ke tempat baharu dengan memasuki salur darah, kelenjar dan organ lain untuk membiak,"katanya.

Katanya lagi, dalam perut terdapat banyak saluran darah sekelilingnya.

Apabila sel barah tumbuh di situ maka mudah berlaku pendarahan.

"Ini boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk," katanya.

Katanya lagi, pada peringkat awal penyakit itu tidak mempunyai gejala yang jelas. Ini kerana terdapat pesakit datang ke hospital hanya mengalami gejala seperti gastrik.

"Namun, barah semakin teruk apabila pesakit mengalami gejala seperti gastrik berlarutan dan kurang selera makan dan penurunan berat badan yang ketara.

"Pada peringkat lanjutan pula, pesakit berasa perut penuh setiap kali makan, susah menelan dan muntah berwarna gelap.

"Ini (muntah berwarna gelap) terjadi kerana tindak balas dalam perut menyebabkan warna darah bertukar warna gelap.

Selalunya gejala itu bermaksud barah adalah peringkat lanjutan,"katanya.

Ditanya mengenai rawatan barah gastrik lanjutan Dr Khairiyah berkata, jika barah dikesan peringkat awal dan tiada gejala merebak ke bahagian lain, maka rawatan dijalani pesakit ialah prosedur skop iaitu meneropong ke dalam saluran pemakanan serta perut.

Katanya, selain ini mesin pengimbas tomografi berkomputer ('CT scan') juga digunakan untuk melihat sejauh mana tahap barah berkenaan.

"Sekiranya barah setempat, rawatan diberikan ialah empat kitaran kemoterapi dan disusuli pembedahan serta kemoterapi semula.

"Bagi pesakit barah lanjutan mereka turut diberikan rawatan kemoterapi. Selain itu rawatan seperti terapi sasaran dan imunoterapi juga boleh diberikan mengikut kesesuaian. Namun rawatan ini dilakukan mengikut tahap kesihatan pesakit.

"Ini kerana lazimnya keadaan pesakit lemah kerana tidak mempunyai nutrisi mencukupi disebabkan tiada selera makan.

"Sel barah merebak bermaksud tidak mencapai penyembuhan daripada rawatan diberikan, tetapi prosedur ini sebagai usaha mengurangkan gejala penyakit," katanya.

Dalam pada itu Dr Khairiyah berkata, maklumat mengenai penyakit barah gastrik lanjutan tidak banyak dalam bahasa Melayu.

Jelasnya, sebaliknya banyak maklumat itu disampaikan golongan bukan pakar perubatan dan selalunya mengelirukan.

"Jadinya pesakit akan mendapatkan rawatan yang tidak tepat dan pengambilan produk sampingan.

"Saya faham daripada segi emosi pesakit yang mahu mengubati penyakitnya dan mereka mendengar banyak perkara negatif mengenai rawatan di hospital, jadi mereka berasa sangat takut" katanya.

Oleh itu jelasnya, selain pesakit sendiri, ahli keluarga juga mesti memainkan peranan penting dengan mendapatkan nasihat daripada saluran yang betul.

Katanya lagi, bantulah pesakit dari segi sokongan moral, emosi dan sebagainya. Banyak orang dan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesusahan pesakit barah yang terdesak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 7:00 AM