RADIOTERAPI boleh menyembuhkan 40 peratus semua penyakit barah.
RADIOTERAPI boleh menyembuhkan 40 peratus semua penyakit barah.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


SERAMAI 19.2 juta pesakit barah baharu direkodkan pada 2020 manakala 10 juta pesakit meninggal dunia pada tahun yang sama.

Terdapat kemungkinan 27.7 juta kes barah baharu dan 13 juta kematian akibat barah bakal direkodkan menjelang 2030 sekiranya dasar kawalan barah yang sesuai tidak dilaksanakan.

Di Malaysia, 48,639 kes barah baharu dikesan dan 29,530 kes kematian akibat barah didaftarkan pada 2020.

Turut dijangkakan, kes baharu barah meningkat dua kali ganda menjelang 2040.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Hospital Pakar KPJ Ipoh Dr Biswa Mohan Biswal berkata, kadar penyembuhan barah adalah lebih tinggi pada peringkat awal pengesanan penyakit itu apabila barah terhad kepada lokasi asal.

Bagaimanapun, menurutnya, apabila barah merebak ke organ lain, kadar penyembuhan akan menurun dengan ketara.

"Banyak negara mengutamakan pengesanan awal barah menggunakan kaedah saringan kepada lelaki dan wanita berumur lebih 50 tahun.

"Namun, disebabkan kurang pendidikan kesihatan, dasar kesihatan yang seragam dan kekangan kewangan, banyak kes barah di negara membangun dikesan lebih lewat serta kadar penyembuhan adalah rendah," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan barah, Dr Biswa berkata, biasanya ia dilakukan oleh ramai pakar daripada pelbagai disiplin kepakaran.

"Tiga kaedah rawatan barah utama ialah pembedahan untuk membuang tisu pembawa barah.

"Rawatan kedua adalah terapi sinaran radiasi bagi mensterilkan sel barah di dalam dan sekitar kawasan barah.

"Rawatan ketiga ialah kemoterapi untuk membunuh sel barah di dalam tumor serta sel yang beredar dalam aliran darah," katanya.

Dr Biswa berkata, baru-baru ini, banyak rawatan baharu seperti rawatan barah peribadi menggunakan ubat disasarkan, terapi hormon dan meningkatkan imuniti barah menggunakan imunoterapi juga digunakan secara meluas.

Katanya, untuk pesakit barah yang sudah mencapai tahap akhir dengan jangka hayat pendek, pesakit dirawat melalui penjagaan paliatif dan sokongan, bagi mengurangkan gejala barah serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Dengan menggunakan langkah yang sesuai, lebih daripada satu pertiga barah dapat dicegah.

"Satu pertiga barah dapat disembuhkan dan baki satu pertiga hayat pesakit barah boleh dipanjangkan manakala gejala dapat dikurangkan menggunakan penjagaan paliatif yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, radioterapi adalah salah satu kaedah rawatan yang paling penting dalam keadaan barah dan bukan barah.

"Dianggarkan, kira-kira 60 peratus pesakit barah memerlukan rawatan ini. Sebagai contoh, radioterapi boleh menyembuhkan 40 peratus daripada semua kes barah, berbanding 11 peratus kes yang dirawat dengan kemoterapi sahaja.

"Sinaran radiasi mengion digunakan untuk membunuh sel barah bagi mereka yang mempunyai potensi pembahagian sel tinggi.

"Disebabkan oleh kecacatan selular di dalam genom sel barah, kecederaan akibat sinaran radiasi tidak dibaiki dalam sel barah dengan berkesan berbanding sel normal.

"Oleh itu, sebagai tambahan kepada penawar barah, tisu normal mendapat kecederaan selular yang boleh diperbaiki dipanggil ketoksikan sinaran radiasi," katanya.

Dr Biswa berkata, sinaran radiasi mengion boleh dihantar dari jauh menggunakan pemecut linear atau dipanggil teleterapi.

"Teleterapi atau Pemecut Linear (Linac) menjana sinar-x dan elektron bertenaga tinggi dari jauh serta akan memfokuskan sinaran radiasi secara teleskopik kepada tumor di dalam badan pesakit.

"Di Hospital Pakar KPJ Ipoh, kami mempunyai versi terkini Elekta Versa HD iaitu mesin linac.

"Ini adalah peralatan canggih yang boleh menyediakan teknik radioterapi ketepatan khusus seperti radiosurgeri tengkorak, radioterapi badan stereotaktik, radioterapi berpandukan imej, radioterapi adaptif dan radioterapi berpandukan permukaan," katanya.

Jelasnya, terdapat banyak evolusi teknikal (sinergi Elekta generasi ke-7) dalam Elekta Versa HD Linac, seperti pengedaran dos berketumpatan tinggi kepada kontur tumor, melalui 160 kolimator berbilang daun (MLC) kalis bocor yang mengikuti pancaran foton Flattening Filter Free (FFF) tidak seperti Linac lain.

"Kaedah di atas membolehkan penghantaran sinaran radiasi tiga kali lebih cepat daripada mesin terdahulu dalam masa sangat singkat.

"Pendedahan kepada pancaran juga dikurangkan sebanyak 40 peratus. Tempoh rawatan yang lebih pendek akan meningkatkan keselesaan pesakit dan pematuhan kepada rawatan," katanya.

Beliau berkata, Eelekta Versa HD Linac ialah gabungan teknologi inovatif termaju yang dibuat dengan mengambil kira keselamatan pesakit.

"Disebabkan sistem kadar dos yang tinggi dan pengurangan pancaran tepat pada masa, pendedahan pesakit pada mesin radioterapi dikurangkan dengan ketara.

LEBIH daripada satu pertiga barah dapat dicegah, melalui rawatan sesuai.
LEBIH daripada satu pertiga barah dapat dicegah, melalui rawatan sesuai.

"Kebocoran sinaran lembut dalam MLC Linacs konvensional adalah sangat rendah. Pendedahan sinaran radiasi dos rendah adalah minimum, terutama untuk pesakit kanak-kanak.

Beliau berkata, tumor otak kecil boleh disasarkan menggunakan teknik radiosurgeri.

Elekta Versa HD dilengkapi sistem 'High-Definition Dynamic Radiosurger' (HRDS) yang tepat untuk menyampaikan sinaran dos tinggi kepada tumor dengan sangat tepat.

Dr Biswa berkata, Versa HD Linac baharu adalah tiga kali lebih pantas daripada mesin sebelumnya.

"Oleh kerana masa rawatan yang singkat, keselesaan pesakit bertambah baik dan memberikan kualiti hidup lebih baik.

"Dengan menggunakan teknik ketepatan dalam prosedur seperti radiosurgeri otak, Elekta Versa HD intellibeam mampu menyelesaikan rawatan dalam masa 15 minit berbanding 45 minit menggunakan Linacs konvensional," katanya.

Mengenai langkah awal radioterapi, Dr Biswa berkata, pada fasa awal, pakar onkologi akan memeriksa pesakit dan melalui pelbagai ujian untuk menentukan risiko terbabit, tahap penyakit, keadaan pesakit dan fungsi organ.

"Ia akan diikuti dengan simulasi CT, apabila pesakit perlu berpuasa untuk menyediakan usus atau pundi kencing mereka bagi pemeriksaan menyeluruh.

"Selepas itu, ahli radioterapi akan membaringkan pesakit di atas meja simulasi CT dan meletakkan tanda dakwat pada kulit pesakit.

"Kemudian meletakkan satu cangkerang plastik khas di atas bahagian badan yang akan dirawat dalam kedudukan sama setiap hari. Setelah imej CT siap, pesakit akan dibenarkan pulang pada hari berkenaan," katanya.

Tambahnya, ahli fizik radioterapi, pakar onkologi dan dosimetri akan menganalisis imej simulator CT yang ditangkap serta merancang radioterapi menggunakan komputer perancangan rawatan yang canggih (Monaco).

"Setelah pelan diluluskan, pesakit akan dipanggil untuk rawatan sebenar. Bagaimanapun, sebelum rawatan, ahli radioterapi akan memberikan arahan mengenai cara berbaring di atas sofa rawatan, sebelum sinaran radiasi sebenar dipancarkan.

"Semasa rawatan, pesakit mungkin tidak merasai apa-apa. Mesin radioterapi akan bergerak di sekeliling badan pesakit untuk menyampaikan sinaran radiasi yang dikehendaki. Setelah proses ini selesai, pesakit boleh pulang ke rumah.

"Semasa rawatan, pesakit akan dipantau secara berkala. Biasanya, rawatan radioterapi akan berlangsung daripada Isnin hingga Jumaat setiap minggu, selama tiga hingga lapan minggu.

"Ia bergantung kepada jenis barah, peringkat dan kumpulan risiko. Setiap hari rawatan radioterapi mungkin berlangsung selama lima hingga 10 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 7:00 AM