BOTAK tengah kepala dikaitkan dengan masalah hormon testosteron dan tiroid.
BOTAK tengah kepala dikaitkan dengan masalah hormon testosteron dan tiroid.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMBUT gugur setiap kali mencuci atau menyikatnya tentu mengundang kerisauan.

Individu berkaitan pasti gusar, 'mahkota' melengkapkan penampilannya semakin hilang.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang dengan perkara itu kerana ia masalah biasa yang boleh dialami sesiapa sahaja.

Pakar Dermatologi Hospital Pakar An Nur Dr Nur Ashikin Ahmad berkata, ada tiga fasa pertumbuhan rambut yang normal.

Menurut Dr Nur Ashikin, fasa pertama ialah anagen iaitu fasa penumbuhan rambut yang mana sel akar rambut menjadi aktif selama tiga hingga 10 tahun.

"Fasa kedua adalah katagen. Ia fasa peralihan yang mana akar rambut akan mengecut dan mencapai tempoh matang. Fasa ini berlangsung selama dua hingga tiga minggu.

"Fasa ketiga ialah telogen iaitu sel rambut sudah tidak aktif, rambut tidak tumbuh dan akan gugur," katanya.

Kata Dr Nur Ashikin, berpandukan kepada fasa pertumbuhan rambut menunjukkan bahawa keguguran rambut proses semula jadi dialami setiap orang.

Jelasnya, secara purata, seorang dewasa mempunyai 100,000 hingga 150,000 helai rambut.

"Oleh itu, mereka boleh mengalami keguguran rambut di antara 50 hingga 100 helai sehari.

"Tetapi jumlah rambut gugur bergantung kepada ketebalan rambut seseorang. Mereka yang memiliki rambut tebal, maka rambut yang gugur kelihatan lebih banyak," katanya.

Dr Nur Ashikin berkata, ukuran untuk mengetahui masalah keguguran rambut yang tidak normal ialah ada banyak rambut yang gugur pada bantal sebaik bangun tidur

"Sekiranya ada yang menegur mengatakan rambut sudah menipis, ini gejala keguguran rambut yang serius dan penghidapnya perlu bertindak segera.

"Tindakan boleh dilakukan ialah menjalani pemeriksaan untuk mengetahui punca sebenar supaya rawatan yang tepat dapat diberikan," katanya.

Dr Nur Ashikin berkata, ada beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah keguguran rambut ataupun rambut botak.

"Pertama ialah kuman fungus yang dijangkiti daripada kucing belaan atau kucing jalanan. Selalunya terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan jangkitan ini menyebabkannya mengalami botak setempat serta tidak sekata.

"Punca kedua adalah faktor genetik yang mana anak 'mewarisi' masalah keguguran rambut daripada ibu bapa.

"Punca seterusnya ialah masalah hormon testosteron dan tiroid. Gangguan kedua-dua hormon ini menyebabkan lelaki mengalami botak di bahagian tengah kepala yang membentuk 'M'," katanya.

Kata Dr Nur Ashikin, punca keempat dikaitkan dengan gangguan emosi yang boleh menyebabkan berlaku efluvium telogen (gangguan kulit kepala dicirikan oleh keguguran rambut berlebihan)

"Saya mengambil contoh wanita dalam pantang. Semasa hamil, pertumbuhan rambut akan terhenti dan ketika berpantang, rambut ini akan gugur.

"Punca kelima adalah trikotilomania iaitu sejenis gangguan mental yang mendorong seseorang menarik rambut apabila mengalami tekanan emosi.

"Tabiat menarik rambut yang kuat berulang kali boleh menyebabkan tompokan botak pada kepala," katanya.

Dr Nur Ashikin berkata, penyakit autoimun juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

"Masalah ini terjadi apabila sel antibodi menyerang akar rambut yang mengakibatkan rambut gugur.

"Sekiranya terdapat keradangan yang menyebabkan kulit kepala berparut pada bahagian kepala, ia disebabkan oleh penyakit autoimun lupus.

"Sebaliknya jika tiada kesan parut tetapi botak setompok pada kepala, ini adalah alopecia areata.

"Punca terakhir ialah kesan daripada rawatan kemoterapi yang dijalani pesakit barah. Ubat-ubatan kemoterapi menyebabkan kerosakan sel akar rambut

pada kulit kepala," katanya.

Ditanya sama ada keguguran rambut bersifat sementara atau kekal, Dr Nur Ashikin berkata, untuk menentukan kedua-duanya adalah bergantung kepada puncanya.

"Sebagai contoh, keguguran rambut disebabkan oleh jangkitan fungus. Ini bersifat sementara dan akan sembuh selepas menjalani rawatan ubat-ubatan dalam tempoh tertentu.

"Sebaliknya, jika berpunca daripada penyakit autoimun lupus, ada kalanya kesan parut botak akan kekal," katanya.

Kata Dr Nur Ashikin, tidak dinafikan dandanan rambut seperti mencuci rambut, menyikat rambut, mewarnakan rambut dan menyambung rambut boleh memberi kesan terhadap kesihatan rambut.

"Contoh, amalan gemar membalut rambut dengan tuala terlalu lama selepas mencuci boleh menyebabkan rambut rosak dan akar menjadi tidak kuat yang memudahkan rambut gugur.

"Tabiat menyikat rambut lebih 50 kali sehari boleh menyebabkan rambut bercabang.

"Selain itu, gam yang digunakan untuk menyambung rambut juga boleh merosakkan rambut.

"Saya tidak galakkan penggunaan alat pengering rambut yang kerap kerana akan menjejaskan rambut.

"Disarankan menggunakan alat ini selang sehari dan penggunaannya tidak lebih dua hingga tiga saat," katanya.

Menyentuh mengenai pengambilan suplemen untuk kesihatan rambut, Dr Nur Ashikin berkata, keperluan itu bergantung kepada punca masalah rambut dihidapinya,

"Jika masalah keguguran rambut dialami seseorang berkait dengan kekurangan zat besi, maka mereka disaran mengambil suplemen zat besi atas saranan doktor.

"Begitu juga dengan mereka yang kurang zat zink, contohnya selepas menjalani pembedahan usus kecil atau masalah genetik. Mereka digalakkan mengambil suplemen untuk pertumbuhan rambut.

"Saya ingin mengingatkan mereka yang mengalami rambut gugur tetapi tiada masalah kekurangan zat berkenaan (zink dan besi), tindakan mengambil suplemen ini boleh mendatangkan banyak masalah terhadap kesihatan.

"Antaranya keracunan dalam badan, mata kabur dan muntah-muntah. Ujian saintifik mendapati pengambilan suplemen berlebihan seperti vitamin A dan vitamin E tanpa pemantauan doktor sebenarnya boleh mencetuskan masalah rambut gugur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:00 AM