MASALAH botak bahagian depan dan tengah kalangan lelaki mendorong menjalani rawatan tanam rambut
MASALAH botak bahagian depan dan tengah kalangan lelaki mendorong menjalani rawatan tanam rambut
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEMAKIN ramai golongan lelaki 'menderita' masalah keguguran rambut hingga mengalami botak di bahagian tengah kepala.

Masalah ini boleh memberi tekanan kepada golongan itu kerana botak di tengah kepala menjejaskan penampilan, rasa rendah diri, selain kelihatan lebih berusia.

Namun masalah ini boleh diatasi menerusi rawatan ubat dan tanam rambut yang semakin mendapat perhatian ramai.

Perunding Rawatan Pemulihan Rambut, Dr Shaharom Sulaiman berkata, tanam rambut ialah satu proses mengambil akar rambut dan menanam semula ke kawasan tiada rambut atau kurang rambut.

Beliau berkata, prosedur ini bukan satu trend, tetapi ialah salah satu solusi merawat masalah rambut.

"Namun tidak semua masalah rambut boleh dirawat dengan kaedah tanam rambut.

"Selain itu, tanam rambut juga antara penyelesaian kepada mereka yang mempunyai parut di kulit kepala kerana terbakar hingga menyebabkan botak kekal.

"Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan individu terbabit berasa rendah diri," katanya.

Dr Shahrom berkata, mungkin ramai beranggapan tanam rambut hanya dilakukan di kepala sahaja. Sebenarnya prosedur sama boleh dibuat pada kening.

"Ia dilakukan kepada wanita mempunyai masalah kening terlalu nipis atau kesan rawatan laser untuk membuang tatu menyebabkan bulu kening gugur atau hilang.

"Tidak dinafikan rawatan tanam rambut ini lebih popular dalam kalangan lelaki, tetapi sebenarnya golongan wanita turut melakukannya kerana berasa malu dengan pasangan disebabkan rambut nipis atau botak," katanya.

LAKARAN pada bahagian kepala yang akan ditanam rambut amatlah penting sebelum prosedur tanam rambut dimulakan. - FOTO Amirudin Sahib
LAKARAN pada bahagian kepala yang akan ditanam rambut amatlah penting sebelum prosedur tanam rambut dimulakan. - FOTO Amirudin Sahib

TANAM rambut adalah solusi merawat masalah rambut. - FOTO Amirudin Sahib
TANAM rambut adalah solusi merawat masalah rambut. - FOTO Amirudin Sahib

RAMBUT ditanam mula tumbuh. - FOTO Amirudin Sahib
RAMBUT ditanam mula tumbuh. - FOTO Amirudin Sahib

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus lelaki berhadapan 'male pattern baldness' iaitu kebotakan di bahagian depan dan tengah.

"Untuk masalah ini, rawatan utamanya makan ubat, tetapi kebanyakan lelaki tidak mengetahui rawatan itu dan membiarkan masalah berlarutan.

"Apabila mereka datang berjumpa, saya mendapati kebanyakan akar rambut pesakit sudah mati dan tanam rambut penyelesaian masalah ini," katanya.

Dr Shaharom berkata, masalah botak tengah kepala terjadi bermula dengan akar rambut tidak sihat berperingkat menyebabkan rambut semakin halus dan menipis.

"Jika tidak dirawat menggunakan ubat akan menyebabkan akar rambut mati. Masalah ini banyak dialami kalangan lelaki berusia 30-an hingga 40-an dan golongan ini juga paling ramai menjalani prosedur tanam rambut.

"Kos tanam rambut bergantung kepada keluasan kawasan kepala yang perlu ditanam rambut dengan kos purata antara RM9,000 hingga RM20,000.

"Kos ini agak tinggi dan menjadi kekangan kepada individu kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata, keluasan tanam rambut untuk individu berusia bawah 30 tahun lebih kurang 10 peratus sahaja.

"Manakala individu berusia 30 hingga 40 tahun, keluasan tanam rambut di antara 20 hingga 30 peratus.

"Sementara individu berusia lebih 50 tahun pula mungkin memerlukan keluasan 40 hingga 50 peratus," katanya.

Jelasnya, rambut yang ditanam akan kekal namun ia boleh berkurangan disebabkan faktor usia dan bukan berpunca daripada masalah berulang.

DR Shaharom menunjukkan jenis masalah kebotakan lelaki. - FOTO Amirudin Sahib
DR Shaharom menunjukkan jenis masalah kebotakan lelaki. - FOTO Amirudin Sahib

Katanya, prosedur penting tanam rambut adalah menggunakan rambut sendiri dengan cara mencabut rambut sihat daripada kulit kepala dan ditanam ke kawasan perlu.

Menjawab persoalan punca muka bengkak selepas rawatan tanam rambut kata Dr Shaharom, ia kesan dari ubat bius disuntik pada kulit kepala untuk mematikan deria rasa sebelum rawatan bermula.

"Ini bagi mengelak pesakit berasa sakit ketika prosedur dilakukan.

"Selepas dua hingga tiga hari rawatan, kesan bius turun ke bawah menyebabkan muka menjadi sembab dan kesan ini akan hilang pada hari kelima.

"Kita tidak bius di kawasan yang akan ditanam rambut kerana ubat bius ini ada risiko mengganggu akar rambut.

"Rambut ditanam akan tumbuh lebat pada bulan kesepuluh," katanya.

Dr Shaharom berkata, rawatan tanam rambut tidak memberi risiko terhadap kesihatan memandangkan prosedur itu hanya dilakukan pada kulit kepala oleh doktor bertauliah dan berpengalaman

"Cumanya jika rawatan ini dibuat di luar negara, berkemungkinan ada risikonya kerana tiada pemeriksaan susulan.

"Saya ingin beri nasihat kepada mereka yang ingin membuat rawatan rambut supaya berjumpa doktor bertauliah.

"Ini kerana mereka akan memberikhidmat perundingan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada pesakit perlu menjalani prosedur tanam rambut atau hanya rawatan ubat-ubatan.

"Apatah lagi setiap pesakit ada masalah berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 7:00 AM