DR LUQMAN
DR LUQMAN
UMUMNYA, kencing manis jenis satu dialami kanak-kanak dan orang muda.
UMUMNYA, kencing manis jenis satu dialami kanak-kanak dan orang muda.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENYAKIT kencing manis jenis satu kurang diketahui umum, namun ia boleh mengancam nyawa pesakit.

Ia adalah penyakit autoimun yang mana seseorang menghasilkan antibodi tidak normal yang menyerang sel dan tisu badan.

Antibodi ini menyerang dan merosakkan sel yang menghasilkan insulin di pankreas, juga dikenali sebagai sel beta.

Apabila sel beta rosak sepenuhnya, pesakit akan mengalami glukosa tinggi (hiperglisemia) dan seterusnya keadaan yang mengancam nyawa dikenali sebagai 'diabetes ketoacidosis' (DKA).

Pakar Perunding Endokrinologi Regency Specialist Hospital Dr Luqman Ibrahim berkata, DKA adalah keadaan kecemasan disebabkan glukosa yang sangat tinggi dan pengumpulan asid keton dalam darah.

Menurutnya, apabila pesakit tidak mempunyai insulin mencukupi, mereka tidak dapat menggunakan glukosa sebagai sumber utama tenaga.

"Sebagai tindak balas, badan mereka memecahkan tisu lemak dan melepaskan asid keton dalam jumlah yang berlebihan.

"Apabila terlalu banyak asid keton berada dalam darah, ia menyebabkan darah menjadi terlalu berasid dan seterusnya membawa kepada kegagalan pelbagai organ, termasuk kegagalan jantung serta koma," katanya.

Untuk rekod, ada lebih sembilan juta pesakit kencing manis jenis satu di seluruh dunia, termasuk selebriti terkenal seperti Nick Jonas, Halle Berry dan Theresa May.

PENYAKIT kencing manis jenis satu kurang diketahui umum.
PENYAKIT kencing manis jenis satu kurang diketahui umum.

Secara amnya, penyakit kencing manis jenis satu berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.

Mengenai cara pesakit kencing manis jenis satu didiagnosis Dr Luqman berkata, apabila seseorang mengalami gejala penyakit itu, tetapi tidak menerima diagnosis dan rawatan sesuai, mereka boleh mengalami DKA dalam masa dua hingga empat minggu.

"Bagaimanapun, disebabkan gejala kencing manis boleh menjadi serius dengan kadar yang cepat, kebanyakan pesakit kanak-kanak dan orang dewasa hanya dapat diagnosis apabila mereka sudah mengalami DKA.

"Diagnosis kencing manis jenis satu boleh dilakukan dengan ujian yang menunjukkan paras glukosa tinggi tanpa ciri-ciri jenis kencing manis yang lain. Contoh, obesiti dan usia yang lebih tua.

"Pengesahan diagnosis kencing manis jenis satu boleh dibuat dengan menguji paras antibodi yang khusus untuk sel beta. Namun, keputusan ujian ini hanya diterima selepas beberapa minggu.

PESAKIT kencing manis jenis satu perlu menjalani rawatan insulin sepanjang hayat.
PESAKIT kencing manis jenis satu perlu menjalani rawatan insulin sepanjang hayat.

"Bagaimanapun, apabila glukosa darah meningkat, rawatan untuk kencing manis jenis satu perlu dimulakan segera tanpa menunggu keputusan ujian antibodi ini bagi mengelakkan DKA," katanya.

November adalah Bulan Kesedaran Penyakit Kencing Manis Sedunia dan berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kencing manis meragut tiga nyawa setiap minit di seluruh dunia.

Satu daripada lima orang dewasa menghidap kencing manis di Malaysia.

Namun, Indeks Diabetes Malaysia menunjukkan bahawa pemahaman mengenai kencing manis dan komplikasi kesihatan dalam kalangan masyarakat masih kurang memuaskan.

Dr Luqman berkata, semua pesakit kencing manis jenis satu memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat. Jika tidak, mereka akan kembali mengalami DKA.

DKA boleh mengancam nyawa pesakit.
DKA boleh mengancam nyawa pesakit.

"Bagaimanapun, rawatan insulin untuk pesakit kencing manis jenis satu agak merumitkan dan memerlukan proses pembelajaran berterusan.

"Kajian juga menunjukkan bahawa walaupun dirawat dengan insulin, pesakit ini masih boleh mengalami komplikasi jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang, hilang penglihatan, hilang anggota badan dan penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung serta angin ahmar.

"Komplikasi ini boleh dicegah dengan mensasarkan HbA1c (purata paras gula dalam darah dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu) pada tahap yang lebih rendah dengan cara rawatan insulin intensif," katanya.

Selain itu, katanya, pesakit kencing manis jenis satu juga terdedah kepada paras glukosa darah rendah (hipoglisemia) akibat rawatan insulin.

"Untuk mencapai sasaran HbA1c dan mengurangkan risiko hipoglisemia, rawatan insulin intensif memerlukan suntikan insulin beberapa kali setiap hari, pemantauan glukosa darah yang kerap, pengiraan karbohidrat serta pengiraan dos insulin yang sepadan dengan pengambilan karbohidrat.

KEGAGALAN buah pinggang antara komplikasi jangka panjang dihidapi pesakit.
KEGAGALAN buah pinggang antara komplikasi jangka panjang dihidapi pesakit.

"Bagi memperoleh kemahiran menguruskan penyakit kencing manis jenis satu, pesakit perlu belajar dan berbincang secara berterusan dengan pasukan penjagaan kencing manis mereka," katanya.

Dr Luqman berkata, walaupun kencing manis jenis satu tidak mempunyai penawar, pemindahan sel islet yang mengandungi sel beta digunakan oleh pesakit itu untuk meringankan atau menyembuhkan penyakit mereka, namun manfaat ini tidak berkekalan.

"Penyakit kencing manis jenis satu adalah keadaan yang kompleks dan ia memerlukan proses pembelajaran sepanjang hayat dengan pasukan penjagaan kencing manis berpengalaman untuk hasil rawatan terbaik.

"Oleh itu, adalah penting bagi pesakit kencing manis jenis satu untuk memperoleh akses kepada pasukan penjagaan yang boleh menyediakan penjagaan pelbagai disiplin untuk menangani keperluan kompleks mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 6:30 AM