Nor 'Asyikin Mat Hayin


Martabat perubatan tradisional Melayu perlu dijulang dan dimasyarakatkan agar khazanah amalan perubatan warisan nenek moyang lebih difahami dan diyakini, seterusnya dimanfaatkan dengan selamat serta berkesan.

Usaha dan langkah berterusan perlu dilakukan supaya perubatan ini berada pada kedudukan yang lebih bermaruah serta disegani.

Perkembangan dan kemajuannya mula dirasai melalui pelantikan serta penganugerahan Profesor Madya oleh Kolej Universiti Linton, Mantin, Negeri Sembilan kepada Mohd Adzhar Abd Latif, baru-baru ini.

Mohd Adzhar adalah Ketua Jabatan Perubatan Melayu Kolej Universiti Linton.

Ini petanda yang amat baik dalam usaha ke arah memprofesionalkan amalan bidang itu.

Mohd Adzhar berkata, pada masa ini, fasa kedua Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 [Akta 775] sudah dilaksanakan.

Menurutnya, proses pendaftaran pengamal bagi mentauliahkan pengamal perubatan tradisional dan komplementari sedang dilaksanakan, yang kini dalam tempoh peralihan bermula 1 Mac 2021 hingga 29 Februari 2024.

"Terdapat beberapa keistimewaan dalam tempoh peralihan itu termasuk mengambil kira pengamal perubatan tradisional Melayu di bawah kategori amalan nenek moyang.

MAJLIS Pelancaran Dasar Perubatan Tradisional & Komplementari Kebangsaan, baru-baru ini.
MAJLIS Pelancaran Dasar Perubatan Tradisional & Komplementari Kebangsaan, baru-baru ini.

"Pengamal perubatan tradisional Melayu yang sebelum ini tiada kelayakan akademik atau sijil kemahiran, berusia lebih 50 tahun dan mempunyai pengalaman lebih 10 tahun, layak didaftarkan di bawah klausa pengamal amalan nenek moyang (grand fathering clause)," katanya.

Beliau berkata, mereka tidak perlu mempunyai kelayakan diiktiraf atau sebarang sijil untuk pendaftaran, tetapi hanya perlu mengisi borang permohonan pendaftaran dengan pengesahan daripada ketua kampung, penghulu, majikan dan pegawai kerajaan gred A serta pengerusi badan pengamal diiktiraf seperti tercatat di dalam panduan pendaftaran.

"Di samping itu, terdapat juga kumpulan pengamal perlu mengikuti kursus peningkatan kapasiti. Ini bagi mereka yang tiada kelayakan diiktiraf sebagai syarat untuk menjadi pengamal berdaftar," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, selepas tempoh peralihan itu, permohonan sebagai pengamal perubatan tradisional Melayu adalah disyaratkan sekurang-kurangnya memiliki diploma yang diakreditasi atau diploma kemahiran Malaysia bagi tujuan pendaftaran dan bertauliah.

MOHD Adzhar (dua dari kanan) pada Majlis Penganugerahan Profesor Madya.
MOHD Adzhar (dua dari kanan) pada Majlis Penganugerahan Profesor Madya.

"Apabila memiliki diploma perubatan Melayu secara keseluruhan, mereka boleh mengamalkan empat subbidang perubatan tradisional Melayu diiktiraf iaitu urut Melayu, bekam Melayu, herba Melayu dan penjagaan ibu selepas bersalin.

"Empat subbidang ini diiktiraf kerajaan Malaysia dan mereka diberikan tauliah sebagai pengamal perubatan tradisional apabila mendaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari," katanya.

Jelasnya, sejak beberapa tahun lalu, terdapat institusi pengajian tinggi (IPT) memulakan kursus pensijilan jangka pendek bagi bidang amalan perubatan tradisional Melayu secara berstruktur.

"Antara IPT yang menawarkan program jangka pendek perubatan tradisional dan komplementari ialah Genovasi University College di Petaling Jaya, Selangor dan Kolej Universiti Linton.

"Program ini adalah di peringkat sijil yang berlangsung di antara dua hari hingga beberapa bulan.

"Program diploma perubatan Melayu pula yang mendapat akreditasi sementara daripada agensi kelayakan Malaysia (MQA) ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space," katanya.

HALIA, kunyit dan lengkuas, antara bahan semula jadi dalam perubatan tradisional Melayu.
HALIA, kunyit dan lengkuas, antara bahan semula jadi dalam perubatan tradisional Melayu.

Mohd Adzhar berkata, semasa bertugas sebagai Dekan di Fakulti Perubatan Tradisional Melayu, Genovasi University College, beberapa program peringkat sijil iaitu penjagaan ibu selepas bersalin, asas pengurusan emosi dengan pendekatan perubatan tradisional Melayu, kursus asas urutan Melayu dan kursus asas teras perubatan Melayu sudah dijalankan.

"Saya mahu melihat perubatan tradisional Melayu diperkasakan dan dijulang martabatnya agar dikenali di seluruh dunia. Saya mengharapkan agar semua pihak berwajib dan pemegang taruh berganding bahu untuk menjayakannya.

"Ini adalah amalan nenek moyang kita yang unik, mengandungi perbahanan (kumpulan pelbagai bahan atau data untuk dikaji) ilmu kesihatan sangat berguna boleh diamalkan bagi kesejahteraan kesihatan dan kehidupan secara menyeluruh," katanya.

Mohd Adzhar yang juga Pengerusi Pengamal Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu berkata, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut meluluskan 'The National Occupational Standards' (NOSS) sebagai pusat bertauliah menawarkan kursus di peringkat sijil dan diploma bagi perubatan tradisional Melayu dan komplementari.

"Terdapat beberapa program dan peringkat persijilan di bawah JPK, antaranya adalah sijil kemahiran Malaysia (tahap tiga), diploma kemahiran Malaysia (tahap empat) dan diploma lanjutan kemahiran Malaysia (tahap lima).

"Dalam aliran perubatan tradisional Melayu, terdapat dua program sijil kemahiran iaitu urut terapi dan bekam," katanya.

TEH herba sangat baik untuk kesihatan.
TEH herba sangat baik untuk kesihatan.

Menurut beliau, di peringkat diploma pula adalah urutan teraputik dan penjagaan serta penjagaan ibu selepas bersalin 'mamacare'.

"Di peringkat diploma lanjutan kemahiran Malaysia pula, hanya satu kursus ditawarkan iaitu pengurusan ibu selepas bersalin mamacare.

"Ada satu lagi program sebelum ini pernah ditawarkan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam, Selangor iaitu diploma lanjutan urutan Melayu," katanya.

Jelasnya, kursus perubatan tradisional Melayu diiktiraf kerajaan dan ditawarkan kepada masyarakat di IPT, tidak banyak berbanding perubatan tradisional Cina yang difahamkan sudah ditawarkan ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Anggota Tetap Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia itu berkata, terdapat 16 hospital integrasi iaitu hospital kerajaan mempunyai unit perubatan tradisional dan komplementari.

"Hospital ini menawarkan perkhidmatan seperti akupuntur daripada perubatan Cina dan urutan penjagaan ibu selepas bersalin (perubatan tradisional Melayu) di unit berkenaan.

"Namun unit ini kecil dan diharapkan ia dapat diperbesarkan pada masa hadapan supaya lebih ramai pesakit boleh mendapatkan manfaat rawatan itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bidang dan perkhidmatan perubatan tradisional serta komplementari yang terdiri daripada pelbagai amalan di negara ini adalah unik malah tiada negara lain memilikinya.

"Melalui kelebihan ini, Malaysia sangat berpotensi menjadi hab pelancongan kesihatan yang ditawarkan hingga ke peringkat antarabangsa.

"Bidang ini boleh membantu merangsang ekonomi, menjana pendapatan tinggi serta mengharumkan nama negara. Oleh itu, usaha ini perlu dipergiatkan supaya matlamatnya tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:00 AM