CUPING telinga normal.
CUPING telinga normal.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DI sebalik kekurangan diri, ia tidak menghalang Dr Mohamad Zarudin Mat Said untuk cemerlang dalam pelajaran.

Buktinya, beliau kini bergelar doktor pakar kesihatan awam, kerjaya yang diimpikan sejak kecil.

Dr Mohamad Zarudin mempunyai masalah keabnormalan telinga kiri (microtia) dan tiada saluran telinga (canal atresia) tahap tiga.

Penyakit ini dihidapinya sejak dilahirkan 34 tahun lalu dan dia menggunakan alat bantuan pendengaran belakang telinga untuk membantu pendengaran serta berkomunikasi dengan lebih baik.

Mengimbau zaman persekolahannya Dr Mohamad Zarudin berkata, dia bernasib baik kerana tidak dibuli atau dipulaukan rakan, walaupun dirinya 'unik' berbanding orang lain.

Sebaliknya beliau sering menjadi contoh, kesayangan guru dan memiliki rakan yang sangat baik.

"Saya hanya mempunyai satu kenangan dipanggil 'telinga capang' oleh seorang murid lebih berusia dan tiada panggilan lebih buruk daripada itu.

"Semasa kecil, ibu dan ayah membiarkan rambut panjang di bahagian telinga kiri bagi menutup 'kekurangan' pada organ berkenaan.

"Tujuannya bagi mengelakkan saya berasa malu dengan rakan," katanya.

Kata Dr Mohamad Zarudin, beliau mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit dihidapinya apabila mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

"Semasa isteri hamil anak sulung sembilan tahun lalu, saya menjadi sangat risau kerana bimbang sekiranya kekurangan diri diwarisi anak dalam kandungan," katanya.

Katanya, namun sebaliknya, isteri sangat optimis dengan keadaan bayi dalam kandungan.

"Disebabkan kebimbangan ini, saya meminta isteri menjalani ujian imbasan menyeluruh (detail scan).

"Ujian ini untuk memeriksa bahagian organ bayi dengan lebih menyeluruh, air ketuban, kedudukan uri dan sebagainya," katanya.

Dr Mohamad Zarudin berkata, ujian ini dilakukan setiap kali isterinya hamil dan dia bersyukur ketiga-tiga anaknya dilahirkan sempurna.

Katanya, mereka yang mempunyai masalah ini dinasihati supaya jangan berasa rendah diri.

Menurut beliau, mereka perlu tahu bahawa di sebalik kekurangan diri, ada kelebihan diri yang perlu ditonjolkan.

"Kaedah perubatan hari ini semakin maju dan ibu bapa boleh membuat pilihan untuk memulihkan masalah pendengaran dihadapi anak mereka sama ada melalui cara pembedahan atau menggunakan alat bantuan pendengaran.

"Di samping itu, ibu bapa perlu membina keyakinan anak yang menghidap penyakit ini supaya mereka tidak berasa merendah diri," katanya.

DR Mohamad Zarudin memakai alat bantuan pendengaran.
DR Mohamad Zarudin memakai alat bantuan pendengaran.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Asma Abdullah berkata, microtia ialah keadaan apabila berlaku keabnormalan pada cuping telinga sejak lahir.

Menurutnya, penyakit ini boleh berlaku sama ada di sebelah atau kedua-dua telinga.

"Faktor terjadinya ketidakabnormalan pada cuping telinga tidak diketahui tetapi kebiasaannya, ia berlaku ketika trimester pertama kehamilan.

"Penyakit ini mempunyai empat tahap dan setiap tahap dibezakan dengan bentuk cuping telinga.

"Bagi tahap satu, saiz cuping telinga adalah lebih kecil berbanding cuping normal dan anatomi anggota ini kelihatan sempurna," katanya.

Dr Asma berkata, tahap kedua pula, kebiasaannya, bahagian bawah cuping telinga kelihatan normal, saluran pendengaran kecil atau tertutup sepenuhnya.

"Tahap ketiga pula ialah terdapat ketulan kecil kulit 'berbentuk kacang tanah' dan tiada saluran pendengaran.

"Sementara tahap empat, pesakit tidak mempunyai cuping telinga dan keadaan ini dipanggil 'anotia'," katanya.

Dr Asma berkata, penyakit ini boleh dikategorikan sebagai penyakit jarang jumpa kerana bilangan pesakit menghidapinya tidak ramai.

Kajian mendapati, doktor mendiagnosis kira-kira seorang hingga lima orang daripada 20,000 kelahiran bayi mengalami microtia.

Pesakit pula lebih ramai dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dan kebanyakan terjadi di bahagian telinga kanan.

Katanya lagi, anak-kanak yang mengalami microtia dikaitkan dengan masalah pendengaran konduktif disebabkan keabnormalan cuping telinga dan ketiadaan saluran telinga.

"Penyakit ini boleh dikesan melalui ujian imbasan pada usia kandungan di antara 16 hingga 20 minggu," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan, Dr Asma berkata, bayi yang dilahirkan dengan masalah microtia perlu menjalani ujian saringan pendengaran universal dan membuat diagnosis menggunakan ujian 'brainstem evoked response'.

"Seterusnya, mereka dipakaikan dengan alat bantuan pendengaran. Pada usia lima tahun ke atas, pesakit boleh menjalani pembedahan.

"Pembedahan ini membantu untuk 'mengembalikan' pendengaran pesakit. Sekiranya pesakit tidak mempunyai lubang telinga, mereka boleh memakai alat bantuan pendengaran," katanya.

Dr Asma menasihati ibu bapa supaya segera melakukan ujian pendengaran bagi anak yang mengalami microtia di klinik dan hospital berhampiran.

"Setakat ini, kesedaran ibu bapa terhadap penyakit microtia adalah tinggi kerana ramai yang menghantar anak menjalani pemeriksaan pendengaran dan ini perkembangan yang baik.

"Namun, ada juga ibu bapa berasa sedih dan tertekan dengan kekurangan dialami anak mereka.

"Malah ada pula yang mengambil tindakan menutup telinga anak dengan rambut yang dibiarkan panjang bagi 'menyembunyikan' bahagian kecacatan itu," katanya.

Kata Dr Asma, ibu bapa juga perlu reda dengan takdir Allah SWT dan tidak saling menyalahkan antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 7:00 AM