MAKAN yogurt Greek kosong bersama buah-buahan.
MAKAN yogurt Greek kosong bersama buah-buahan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETIAP kali musim perayaan, ia umpama pesta makanan kerana pelbagai jenis makanan lazat dihidang sebagai pelengkap meraikan hari istimewa itu.

Namun, kebanyakan sajian ini mengandungi kalori yang tinggi, tetapi kurang nutrien yang diperlukan oleh badan.

Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Pemakanan Sedunia, Herbalife Nutrition, Susan Bowerman berkata, satu cara untuk mengelakkan pengambilan manisan dan makanan kurang sihat pada perayaan Tahun Baharu Cina ini ialah dengan melebihkan pengambilan protein.

Menurutnya, selain itu, kurangkan pengambilan karbohidrat terproses dan lemak.

Katanya, pemilihan makanan sihat yang tinggi nutrien akan membuatkan individu berkaitan berasa kenyang lebih lama dan dapat mengelak keinginan kudapan kurang berkhasiat.

"Protein adalah nutrisi penting yang perlu ada dalam diet sihat. Ini kerana ia (protein) membantu membina dan mengekalkan jisim otot tanpa lemak.

SUSAN
SUSAN

"Pastikan mengambil protein dalam setiap sajian dan snek supaya kita rasa kenyang sepanjang hari serta memenuhi keperluan protein individu.

"Keperluan protein setiap individu adalah berbeza mengikut saiz dan komposisi badan, umur serta tahap aktiviti dilakukan," katanya.

Susan berkata, makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ayam, telur, kekacang dan bijian juga membekalkan vitamin B, vitamin E, zat besi, zink serta magnesium.

"Oleh itu, apabila meningkatkan pengambilan protein dan mengurangkan kalori tidak sihat, kita mendapat manfaat nutrien tambahan untuk memenuhi keperluan tubuh," katanya.

Beliau berkata, ada tiga cara untuk mengelakkan makan berlebihan semasa perayaan.

Pertama ialah menikmati sarapan sihat yang kaya protein.

"Boleh cuba minuman 'shake' sebagai pengganti makanan atau empingan oat yang dikisar bersama serbuk protein.

"Kajian menunjukkan sarapan yang kaya dengan protein bukan sahaja membuatkan seseorang berasa kenyang sehingga tengah hari malah membantu mengehadkan pengambilan makanan sepanjang hari," katanya.

Kata Susan, cara kedua ialah menikmati snek berkhasiat seperti yogurt Greek kosong dengan buah-buahan atau snek bar protein sebelum mengunjungi rumah saudara-mara atau rakan.

"Paling penting, elakkan perut kosong semasa mengunjungi rumah saudara-mara kerana tindakan ini mendorong untuk makan lebih banyak.

"Cara ketiga adalah memilih sajian perayaan dengan teliti. Pada majlis makan besar Tahun Baharu Cina dan rumah terbuka, ada beberapa cara untuk menjaga kesihatan sambil menjamu selera.

"Caranya ialah mendapatkan sumber protein tanpa lemak seperti ikan, ayam dan daging yang dipanggang," katanya.

Jelasnya, selain itu, kurangkan pengambilan nasi putih berkanji, ban kukus dan ladu.

"Sebaliknya, ambil lebih banyak sayur-sayuran, kekacang dan bijian yang tinggi protein seperti nasi perang atau tepung serat penuh.

"Jangan lupa untuk mengawal pengambilan 'kalori cecair' seperti minuman bergula dan berkarbonat yang sememangnya tinggi kalori.

"Sebaik-baiknya, pilih minuman teh Cina kurang manis atau segelas 'sparkling water' yang diperisakan bersama perahan lemon atau limau nipis," katanya.

Susan berkata, lakukan senaman sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari kerana aktiviti ini membantu untuk mengekalkan berat badan dan kesihatan tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:20 AM