GANGGUAN mental boleh menjadi lebih teruk.
GANGGUAN mental boleh menjadi lebih teruk.
Muhamaad Razis Ismail


SECARA umum, orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas memerlukan tujuh hingga sembilan jam waktu tidur manakala remaja memerlukan lapan hingga 10 jam waktu tidur setiap malam.

Tidur yang mencukupi penting untuk kesihatan selain dapat membantu anda lebih fokus terhadap tugasan harian.

Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam kalangan 11,000 pekerja di Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada 2018, mendapati bahawa anggaran 54 peratus yang bekerja mendapat kurang daripada tujuh jam waktu tidur setiap malam.

Kajian yang dijalankan pada tahun lalu pula di beberapa universiti di Malaysia turut mendapati kira-kira 58 peratus pelajar tahun tiga dan empat tidur kurang daripada tujuh jam sehari.

Pakar Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Farah Deena Abd Samad berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, ramai yang terkesan sehingga menyebabkan gangguan tidur.

"Lebih ramai yang bekerja dari rumah dan terpaksa bekerja sambil menjaga anak serta menguruskan hal rumah tangga ketika waktu kerja.

"Pada masa sama, ramai yang hilang pekerjaan, sumber pendapatan, tidak dapat berjumpa orang tersayang, tidak dapat bersukan atau bersosial seperti biasa selain banyak perubahan mendadak yang berlaku.

"Semua ini meningkatkan stres, ketakutan dan keresahan dalam kalangan ramai yang boleh mengganggu emosi kanak-kanak dan dewasa seterusnya mengganggu tidur seseorang," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, apabila seseorang itu tidak mendapat tidur yang mencukupi berpanjangan, pelbagai masalah kesihatan boleh dialami.

BOLEH mengakibatkan kemalangan.
BOLEH mengakibatkan kemalangan.

i

"Antaranya masalah gangguan mental seperti kemurungan dan keresahan juga boleh berlaku.

"Bagi mereka yang memang menghidapi gangguan mental, tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan gangguan mental menjadi lebih teruk," katanya

Beliau berkata, selain itu sistem saraf pusat akan terganggu sehingga menyebabkan neuron dalam otak tidak dapat memproses dan mengingati maklumat baharu yang diperoleh pada hari itu.

"Hal ini berlaku kerana otak akan berasa sangat penat dan tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

"Ingatan, fokus dan keupayaan berfikir akan terjejas dan ini boleh menyebabkan berlaku kemalangan di rumah, jalan raya atau pun tempat kerja," katanya.

Mengulas lanjut, tidur yang tidak mencukupi adalah salah satu faktor risiko untuk berlaku obesiti.

"Jika kita tidak mendapat tidur secukupnya, Leptin (hormon yang mengawal rasa kenyang) akan berkurang dan Ghrelin (hormon yang mengawal rasa lapar) akan meningkat. Ini akan menyebabkan kita makan dengan lebih banyak dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

"Hormon insulin yang biasa kita dengar yang berkaitan dengan kencing manis pula akan dirembeskan dengan kadar lebih rendah jika kita tidak cukup tidur. Ini boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kencing manis.

"Rembesan hormon kortisol (yang memainkan peranan terhadap respon kepada stres) akan terganggu dan risiko untuk mendapat strok, sakit jantung serta darah tinggi meningkat," katanya.

PENGGUNAAN peranti sebelum tidur boleh menyebabkan sukar untuk tidur.
PENGGUNAAN peranti sebelum tidur boleh menyebabkan sukar untuk tidur.

Katanya, ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak mendapat tidur mencukupi.

"Antaranya stres, perubahan jadual (kerja syif, bekerja, belajar hingga lewat malam dan lesu jet), pengambilan alkohol atau kafein yang berlebihan. Penggunaan alat elektronik sebelum tidur juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur.

"Faktor lain membabitkan penyakit yang sedia ada seperti penyakit psikologi (contohnya kemurungan, keresahan) dan penyakit gangguan tidur seperti 'sleep apnea', insomnia dan lain-lain," katanya.

Tambahnya, untuk rawatan ia bergantung kepada punca mengapa mereka mempunyai masalah tidur.

"Biasanya apabila puncanya dikenal pasti dan dirawat, masalah tidur akan makin pulih juga.

"Pil tidur jarang hanya diberikan untuk kes tertentu sahaja kerana boleh menyebabkan ketagihan dan penyalahgunaan," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran masyarakat, ramai yang masih berpendapat tidur ini membuang masa.

"Bagaimanapun, ia adalah pendapat yang tidak tepat. Ada juga yang sedar bahawa tidur itu penting, tetapi sebab terlalu sibuk atau stres, mereka tidak mendapat tidur secukupnya kerana perlu menyiapkan kerja dengan segera.

"Tidur yang cukup adalah penting untuk kesihatan fizikal dan mental. Jika anda mengalami kesukaran untuk tidur yang kronik, adalah digalakkan untuk mendapatkan bantuan profesional ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:00 AM