KEADAAN kanak-kanak ketika mengetap gigi.
KEADAAN kanak-kanak ketika mengetap gigi.
Nurul Husna Mahmud


BUNYI geseran atau ketap gigi bahagian atas dan bawah di tengah malam boleh mengundang rasa seram meskipun pelakunya hanya si anak kecil.

Mana tidaknya tabiat itu kerap 'dimomok' perlakuan yang mengandungi unsur mistik di kaca televisyen. Malah ada segelintir percaya situasi itu berlaku kerana 'dirasuk.'

Penjelasan saintifik lebih masuk akal apabila merujuk tabiat mengetap atau menggesel gigi suatu yang dipanggil bruxism.

Tabiat bruxism bukan hanya merujuk kepada permasalahan tidur dan mental, malah pakar pergigian memandang serius masalah itu kerana boleh mengundang komplikasi lain.

Satu jurnal membabitkan sekumpulan penyelidik yang mengkaji bruxism dan gejala buli pada 485 kanak-kanak di antara usia tujuh hingga 10 mendapati setiap tiga daripada 10 kanak-kanak memiliki tabiat ini.

Penulis portal kesihatan The Diagnosa, Mohamad Luqman Hakim Mohamad Rasidi menerangkan bruxism kerap dikaitkan dengan keresahan dan tekanan yang menjadi punca kepada gangguan tidur serta komplikasi sakit lain.

"Masalah ini boleh terjadi pada setiap peringkat umur merangkumi orang dewasa mahupun kanak-kanak.

"Bruxism boleh hadir dengan beberapa simptom namun ia juga berkemungkinan tiada simptom. Perbuatan mengisar gigi ini sering kali dikaitkan dengan keadaan tertekan atau kegelisahan. Masalah ini sering dilaporkan berlaku ketika tidur atau ketika tertekan," katanya.

Tambah Mohamad Luqman yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut berkongsi punca lain masalah itu antaranya faktor susunan gigi selain kesan sampingan ubat dan gangguan tidur.

ELAK pengambilan manis sebelum tidur.
ELAK pengambilan manis sebelum tidur.

"Jika berdengkur atau mempunyai gangguan ketika tidur seperti apnea tidur obstruktif (OSA) lebih berkemungkinan anda mengetap gigi ketika tidur. OSA mengganggu pernafasan ketika tidur.

"Selain itu, kemungkinan bruxism juga berlaku sekiranya bercakap ketika tidur, mengalami kelumpuhan tidur atau berhalusinasi ketika tidur," katanya.

Dalam kes membabitkan kanak-kanak selain kedudukan gigi atas dan bawah tidak selari, genetik juga boleh menyebabkan masalah ini.

Ahli keluarga terdekat yang mempunyai sejarah dan tabiat mengetap gigi, risiko untuk kanak-kanak mendapatnya adalah tinggi.

Terdapat juga punca perubatan lain yang menyumbang risiko anak ada tabiat mengetap gigi seperti epilepsi yang mana serangan berlaku menyebabkan mereka tidak dapat mengawalnya.

Selain itu gangguan pencernaan asid refluks (GERD), kemurungan dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) antara bruxism yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, bruxism yang berlanjutan mengundang kesan buruk terutama terhadap kesihatan gigi kanak-kanak.

"Bruxism yang berterusan mengakibatkan komplikasi yang lebih serius antaranya kerosakan pada gigi dan restorasi, gusi menyusut, tulang menyusut, gangguan temporomandibular (TMD), arthritis pada rahang serta gangguan pemakanan.

"Tindakan lanjut ialah perlu bertemu dengan doktor dan menjalani pemeriksaan gigi serta mulut untuk mengenal pasti punca sebenar tabiat buruk itu.

"Kebiasaan bagi merawat bruxism adalah menggunakan pelindung mulut. Pelindung mulut dipakai ketika tidur akan meliputi keseluruhan gigi," katanya.

Beliau turut menyarankan mereka yang mengalami bruxism berkaitan dengan gangguan temporomandibular (TMD) supaya menjalani pemeriksaan dan rawatan dengan doktor gigi.

PELUK anak.
PELUK anak.

Tip untuk ibu bapa;

1. Memeriksa anak ketika tidur

Menjenguk anak sekali-sekala di tengah malam dapat membantu ibu bapa memantau masalah tidur si anak termasuklah tabiat bruxism.

2. Dengar aduan anak

Anak yang mempunyai tabiat bruxism biasanya akan mengadu rasa sakit pada bahagian rahang atau mulut.

Dalam situasi lain, mungkin anak juga mengadu tidak selesa diganggu bunyi bising mungkin disebabkan si anak itu atau adik-beradiknya lain mempunyai masalah yang sama.

3. Didik anak supaya tidak menggigit atau mengunyah objek

Tabiat mengunyah sesuatu yang bukan makanan membiasakan anak menggunakan otot rahangnya untuk mengetap dan mengisar, seterusnya mendorong bruxism berlaku pada waktu tidur.

4. Tenangkan anak ketika tidur

Pendekatan seperti berkongsi kisah gembira atau berbual untuk mereka bercerita masalah secara privasi boleh membantu menenangkan mereka.

Bantu juga wujudkan suasana kondusif seperti memberi minum susu suam atau mandi air panas.

Elak pemberian gula-gula atau minuman.

5. Dakap anak sebelum tidur

Anak yang mungkin mengalami detik sedih, marah atau menakutkan sebaiknya didakap dan ditenangkan.

Tabiat mendakap atau memeluk anak sebelum tidur juga boleh meninggalkan ingatan kuat supaya lebih rasa selamat dan tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:00 AM