KESEDARAN terhadap pendermaan darah semakin meningkat namun bilangannya masih belum mencukupi.
KESEDARAN terhadap pendermaan darah semakin meningkat namun bilangannya masih belum mencukupi.
Muhamaad Razis Ismail


Bekalan darah amat diperlukan hospital untuk disiplin klinikal iaitu perubatan, surgeri, ortopedik, pediatrik, obstetri, ginekologi dan kecemasan.

Selain itu, darah turut diperlukan untuk pesakit yang menjalani transfusi berkala dan berkeperluan seperti pesakit talasemia, kanser darah, dan kanser.

Pakar Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Tang Yee Loong berkata, kini bekalan darah adalah mencukupi untuk keperluan harian.

Katanya yang bertugas sebagai Ketua Unit di unit Tabung Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik (JPMD), setiap kali musim perayaan, bekalan darah akan berkurangan.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjejaskan bekalan darah apabila ramai penderma khuatir untuk keluar rumah.

"Selain itu, penggunaan produk darah yang mendadak disebabkan permintaan tinggi dari wad, dewan bedah, pusat jagaan harian dan kecemasan turut memberi kesan terhadap bekalan darah,"katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, jenis bekalan darah yang diperlukan termasuk 'packed cells,' 'fresh frozen plasma', 'cryoprecipitate' dan 'platelet concentrate.'

"Packed cells (sel-sel darah merah) digunakan untuk pesakit yang mengalami simptom anaemia atau pendarahan.

"Platelet concentrate pula digunakan pada pesakit yang mengalami pendarahan disebabkan kekurangan platelet.

"Manakala, Fresh frozen plasma dan crytoprecipitate digunakan pada pesakit yang mengalami pendarahan disebabkan kekurangan faktor koagulasi,

" katanya.

Jelasnya, sekiranya bekalan darah tidak mencukupi Unit Tabung Darah akan mengawal selia stok darah dengan teliti dan berhemah mengikut justifikasi klinikal.

BEKALAN darah diperlukan untuk disiplin klinikal dan transfusi berkala.
BEKALAN darah diperlukan untuk disiplin klinikal dan transfusi berkala.

"Setiap permintaan atau permohonan produk darah perlu melalui perbincangan menyeluruh antara doktor yang merawat pesakit dengan doktor yang bertugas di Unit Tabung Darah berkenaan indikasi klinikal dan bilangan unit produk darah diperlukan.

"Bekalan produk darah akan diberikan kepada pesakit yang menepati keperluan indikasi klinikal.

"Bagi pesakit yang stabil dan tiada pendarahan, transfusi darah akan ditunda dan rawatan alternatif boleh diberikan seperti zat besi, hormon erythropoietin dan terapi oksigen sekiranya berkaitan,

" katanya.

Katanya, HCTM tidak mempunyai pusat pengumpulan darah bagi penderma untuk menderma darah dan semua bekalan darah adalah berasal dari Pusat Darah Negara (PDN).

"Untuk menangani masalah kekurangan bekalan darah, pihak HCTM bekerjasama dengan PDN bagi menganjurkan kempen derma darah di fasiliti HCTM membabitkan orang awam dan kakitangan HCTM," katanya,

Mengulas lanjut, kini ramai dalam kalangan rakyat Malaysia secara sukarela tampil menjadi penderma darah berikutan tahap kesedaran yang semakin meningkat namun bilangannya belum mencukupi.

"Usaha memupuk kesedaran orang ramai untuk menderma darah perlu ditingkatkan lagi.

DR Tang Yee Loong
DR Tang Yee Loong

"Ini kerana, penggunaan produk darah yang makin meningkat sejajar dengan peningkatan bilangan pesakit setiap tahun akibat pertambahan populasi dari kelahiran, pertambahan bilangan hospital baru dan perkembangan saiz hospital yang sedia ada di sekitar Lembah Klang.

"Justeru itu, saya berharap orang ramai dapat menampilkan diri sebagai penderma darah. Beg darah yang didermakan mampu menyelamatkan banyak nyawa yang berharga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 6:16 AM