GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penularan Covid-19 menyaksikan kutipan bekalan darah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor semakin menurun dan memerlukan jasa penderma bagi memastikan bekalan mencukupi.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Darah HTAR, Dr Nafishah Ahmad berkata, pengurangan kutipan darah yang ketara berkenaan berikutan penurunan bilangan penderma tampil menderma ketika tempoh pandemik.

"Faktor penurunan itu adalah disebabkan kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.

"Sehingga kini, bekalan darah di HTAR adalah di tahap minimum.

"Purata darah yang diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di HTAR dan hospital yang dibekalkan oleh HTAR adalah sebanyak 700 hingga 900 unit," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, Jabatan Perubatan Transfusi Darah, HTAR adalah pusat kutipan utama darah yang bertanggungjawab menganjurkan kempen derma darah di Selangor bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan berada di paras selamat untuk kegunaan empat hospital awam dan 23 hospital swasta berkaitan.

"Walaupun negara sedang berdepan pandemik Covid-19, pendermaan darah secara berterusan amat diperlukan bagi membantu pesakit yang memerlukan transfusi darah termasuk pesakit Thalassaemia, pesakit yang mengalami pendarahan di luar jangkaan seperti kemalangan dan komplikasi semasa bersalin.

"Selain itu, terdapat juga pesakit Covid-19 memerlukan transfusi darah kerana mempunyai latar belakang penyakit kronik," katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu khuatir berikutan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah dan petugas dalam memastikan proses pendermaan darah yang selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ia termasuk mematuhi Garis Panduan Aktiviti Pendermaan Darah dan Kriteria Pemilihan Penderma Darah berdasarkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia yang dikeluarkan oleh Pusat Darah Negara (PDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Orang ramai dijemput hadir menderma darah di Tabung Darah HTAR, Klang dan di kempen-kempen derma darah di seluruh Selangor," katanya.

Maklumat lanjut berkaitan jadual mingguan kempen derma darah boleh dirujuk di Facebook dan Telegram, Derma Darah HTAR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:07 PM