MINYAK ikan sangat baik untuk otak dan memberikan perubahan positif terhadap gejala kemurungan. - FOTO Google
MINYAK ikan sangat baik untuk otak dan memberikan perubahan positif terhadap gejala kemurungan. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MINYAK ikan adalah makanan tambahan terkenal yang diekstrak daripada ikan berlemak seperti sardin, salmon, kembung dan ikan bilis.

Minyak ini mengandungi dua jenis asid lemak iaitu asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) yang diketahui sangat baik untuk kesihatan jantung serta kulit.

Namun, minyak ikan juga memberikan kesan luar biasa kepada otak, terutama mereka yang mengalami masalah kehilangan ingatan dan kemurungan ringan.

EPA dan DHA adalah komponen membran sel dan mempunyai fungsi antikeradangan yang kuat dalam badan.

Dalam diet manusia, EPA dan DHA diperoleh daripada lemak ikan serta minyak ikan.

Oleh kerana ramai individu tidak mengambil jumlah ikan disarankan, ramai yang mengalami kekurangan EPA dan DHA dalam diet harian.

Tubuh manusia boleh menghasilkan EPA dan DHA daripada Omega-3 yang lain iaitu asid alfa linoleate (ALA).

ALA boleh diperoleh daripada banyak sumber seperti kacang walnut, biji rami, minyak canola, minyak dan kacang soya.

Bagaimanapun, manusia tidak boleh menukarkan ALA kepada EPA dan DHA secara berkesan.

Satu laporan menganggarkan kurang daripada 10 peratus jumlah ALA yang digunakan ditukar kepada EPA dan DHA.

Oleh itu, pengambilan minyak ikan mungkin pilihan tepat, terutama bagi mereka yang kurang makan ikan, tetapi masih mahu mendapatkan manfaat kesihatan daripada asid lemak Omega-3.

Omega-3 dalam minyak ikan turut memainkan peranan penting kepada pembangunan dan fungsi otak.

Ada juga mengatakan minyak ikan dapat meningkatkan fungsi otak kepada mereka yang mengalami masalah ingatan seperti pesakit Alzheimer atau gangguan kongnitif.

Satu kajian dilakukan terhadap 485 orang dewasa yang mengalami masalah kemerosotan fungsi kognitif, mereka diberikan 900 miligram DHA setiap hari.

Selepas 24 minggu, menunjukkan peningkatan prestasi daya ingatan dan pembelajaran juga lebih baik.

Begitu juga dengan penelitian kesan pengambilan 1.8 gram Omega-3 setiap hari selama 24 minggu dan penyelidik mendapati, ada peningkatan fungsi otak dalam kalangan pesakit Alzheimer.

Sebahagian kajian ke atas orang dewasa menunjukkan bahawa asid lemak Omega-3 berkemungkinan memberikan manfaat dalam rawatan kemurungan ringan hingga sederhana, tetapi lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Individu yang mengalami kemurungan berkemungkinan mempunyai paras kimia otak rendah dalam darah.

Minyak ikan tidak dianggap sebagai pengganti rawatan kemurungan, tetapi mungkin bermanfaat sebagai tambahan kepada ubat-ubatan alternatif.

Bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan keberkesanan asid lemak Omega-3 dalam membantu mengurangkan risiko kemurungan.

Perkara penting yang perlu difahami ialah, jangan mengambil Omega-3 daripada jumlah yang disarankan doktor kerana boleh membahayakan kesihatan.

Antara kesannya ialah berisiko tinggi mengalami pendarahan, meningkatkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan sukar mengawal tahap gula dalam darah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:39 AM