SANTAN diperakui baik untuk kesihatan.
SANTAN diperakui baik untuk kesihatan.
SHIRASAWA ketika membentangkan hasil kajiannya terhadap peranan nutrisi dalam antipenuaan.
SHIRASAWA ketika membentangkan hasil kajiannya terhadap peranan nutrisi dalam antipenuaan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kajian baru oleh pakar antipenuaan Jepun mendapati, pemakanan tradisional Asia yang kaya dengan santan dan ikan berminyak memberikan manfaat antipenuaan kepada otak dan jantung. Ia juga menawarkan kehidupan hari tua yang lebih sihat dan gembira serta melambatkan permulaan penyakit degeneratif dan kronik seperti Alzheimer dan penyakit jantung.

Perubahan fizikal dan sosial yang dikaitkan dengan penuaan digabungkan dengan kesan yang melemahkan badan disebabkan penyakit berbilang, akut dan kronik seperti penyakit jantung dan strok, hipertensi, diabetes, kegagalan ginjal, Alzheimer, Parkinson dan demensia.

Kemampuan menguruskan populasi yang semakin tua dengan baik dan cekap menjadi antara cabaran terbesar bagi Malaysia, populasi Malaysia yang meningkat tua, pengasuh mereka dan golongan profesional dalam penjagaan kesihatan.

Mengambil kira populasi Malaysia yang meningkat tua dengan cepat, kajian ini mempunyai implikasi kepada warga emas, orang dewasa yang bekerja dan generasi muda yang menjaga mereka.

Sebagai perspektif, bilangan rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas adalah 1.4 juta orang pada 2000 dan diunjurkan meningkat kepada 3.3 juta orang menjelang 2020. Peratusan populasi Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas pada 2020 dijangka meningkat dua kali ganda menjadi satu dalam 10, berbanding satu dalam 20 pada 2000.

Baru-baru ini, Saintis Jabatan Perubatan Kawalan Penuaan Universiti Juntendo, Jepun, Prof Takuji Shirasawa berkongsi penemuan saintifiknya yang terbaru mengenai peranan nutrisi dalam antipenuaan dan pelaksanaan penemuan kajian antipenuaan ke atas pemakanan rakyat Malaysia menjelang simposium di Persidangan Kebangsaan Persatuan Pakar Diet Malaysia pada 11 Jun lalu.

Katanya, hasil kajiannya menunjukkan strategi nutrisi yang menggabungkan nutrien utama tertentu seperti omega-3 dan asid lemak rantaian sederhana serta kemajuan dalam corak pemakanan yang lazim di Asia Tenggara termasuk Malaysia boleh membantu mencegah permulaan pramasa penyakit dan menyumbang kepada kesihatan berpanjangan.

Penyakit Alzheimer sejenis penyakit degeneratif saraf kronik yang menjadi penyebab 60 hingga 70 peratus daripada kes demensia. Antara simptom awal yang biasa adalah kesukaran mengingati perkara yang baru berlaku (kehilangan ingatan jangka pendek).

Apabila penyakit itu merebak, simptom termasuk masalah berkaitan bahasa, ketidaktentuan (termasuk mudah hilang arah), perubahan mood, kehilangan motivasi, mengabaikan pengurusan diri dan isu kelakuan.

Pesakit yang semakin tenat biasanya menjauhkan diri daripada keluarga dan masyarakat. Sedikit demi sedikit, fungsi badan semakin hilang dan akhirnya membawa kepada kematian.

Penyakit itu juga masalah yang biasa dihidapi oleh orang tua dan dianggarkan memberi kesan kepada sekurang-kurangnya lima peratus daripada populasi berumur 65 tahun ke atas.

“Bagi penyakit Alzheimer, neuron tidak dapat menggunakan glukos, tetapi boleh menggunakan zat keton sebagai sumber tenaga. Inilah sebabnya penyakit Alzheimer kini dikenali sebagai diabetes jenis tiga.

“Santan kelapa adalah lemak tepu yang kaya dengan asid lemak rantaian sederhana seperti asid laurik, asid kaprilik dan asid kaprik yang mungkin menawarkan harapan bagi pencegahan atau pengurangan kesan degeneratif penyakit Alzheimer.

“Asid lemak rantaian sederhana disintesis menjadi zat keton dalam hati dan boleh digunakan sebagai sumber tenaga untuk neuron yang boleh membantu bagi melengahkan permulaan atau memberi kelegaan daripada penyakit Alzheimer,” katanya.

Justeru, katanya, pemakanan tradisional Asia atau Malaysia yang kaya dengan santan kelapa boleh memberi manfaat nutrisi kepada populasi yang kian meningkat usia dari segi melengahkan permulaan penyakit degeneratif saraf seperti penyakit Alzheimer.

Perkara itu katanya, tidak boleh diketepikan dengan peningkatan populasi orang tua dan keperluan penjagaan kesihatan mereka. Nutrisi preventif hari ini boleh memberikan mereka perlindungan untuk kemudian hari.

“Bagi orang dewasa hari ini, nutrisi boleh memainkan peranan penting dalam mempromosi proses tua yang sihat dan pada masa sama, mengurangkan risiko penyakit degeneratif Alzheimer.

“Kajian kami menunjukkan penukaran kepada pemakanan yang lebih bersifat melindungi walaupun pada usia dewasa, memberikan manfaat perlindungan yang boleh membantu melambatkan permulaan penyakit degeneratif dan kronik seperti Alzheimer dan diabetes, malah ia juga menawarkan manfaat perlindungan kardio,” katanya.

Bagi kebanyakan orang dewasa, penukaran pemakanan mungkin mendapat tentangan kerana cita rasa yang sudah lama terbentuk.

Bagaimanapun, saranan oleh Prof Shirasawa boleh disesuaikan dengan pemakanan Malaysia dengan penekanan diberikan kepada ikan berminyak seperti sardin, ikan laut dalam seperti tuna dan santan kelapa yang suatu ketika dulu banyak dikecam dari segi perubatan.

Beliau memberi contoh kesan perubahan tabiat pemakanan dalam pengambilan ikan, misalnya bagaimana makanan yang sudah diproses membawa kesan negatif kepada kesihatan termasuk dalam kalangan populasi orang tua.

“Nisbah ideal pengambilan omega-3 ke omega-6 adalah satu kepada satu atau satu kepada dua. Bagaimanapun, makanan moden diproses yang mempunyai kandungan minyak sayuran diproses boleh memencong nisbah ini menjadi satu kepada 20.

“Omega-6 sudah terbukti meningkatkan kadar kematian akibat penyakit jantung manakala omega-3 bersifat melindungi kardio. Kita sepatutnya meningkatkan pengambilan omega-3 dan mengurangkan pengambilan omega-6. Cara mudah dengan memakan lebih banyak ikan berminyak seperti sardin, makerel dan salmon,” katanya.

Prof Shirasawa berkata, masih ada masa bagi mereka yang mencapai umur 30-an, 40-an dan 50-an membuat perubahan positif terhadap pemakanan mereka.

Beliau berkata, rakyat di negara ini masih boleh menikmati masakan Malaysia yang enak asalkan pilihan yang dibuat berdasarkan maklumat yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 12:24 PM