LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Asmah Rusman dan Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: Amalan pemakanan berdasarkan protein lengkap seperti ikan laut mampu merangsang kecerdasan otak bayi dan kanak-kanak, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan tahap minda intelektual (IQ) dalam tempoh masa panjang.

Pakar Diet dan Nutrisi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rosita Jamaluddin berkata, ibu bapa disarankan memilih ikan mengandungi asid lemak bermanfaat seperti salmon dan tuna kerana ia sumber terbaik asid lemak omega-3 yang penting untuk fungsi dan pertumbuhan otak anak.

“Memang ada beberapa kajian yang membuktikan mereka yang gemar memakan ikan mengandung omega-3 memiliki daya fikiran tajam dan mencatat hasil yang baik dalam ujian kemampuan mental.

“Malah, menerusi pemerhatian dan pembacaan saya juga mendapati kanak-kanak yang mendapat khasiat protein yang lengkap khususnya daripada ikan tuna lebih cenderung berfikir dengan baik lebih awal,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Dr Rosita, berdasarkan pembacaannya banyak penyelidikan yang mengaitkan Asid Dokosaheksaenoik (DHA) iaitu sejenis asid lemak omega-3 yang boleh didapati di bawah kulit ikan penting untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf pusat.

“Justeru mengawasi pemakanan anak sangat penting untuk perkembangan otak atau mental mereka. Ibu bapa digalakkan menambah khasiat dalam penyediaan makanan setiap hari daripada sumber protein yang lengkap.

“Banyak lagi bahan yang boleh dirujuk ibu bapa untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sumber protein yang tepat dan sesuai untuk perkembangan otak anak dari masa semasa,” katanya.

Akhbar ini semalam dalam laporan muka depannya mendedahkan mengenai kepintaran kanak-kanak dan remaja di negara ini yang kini sedang mengikuti dan menyertai program di Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setakat ini, PERMATApintar yang dianggap sebagai sebuah sekolah terbaik di Malaysia sudah melahirkan 529 pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sembilan sedang menyambung sarjana dan lima di peringkat doktor falsafah (PhD) sebelum usia mereka mencecah 20 tahun.

Pengarah pusat terbabit, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, misi menjejaki pelajar genius itu bermula pada 2008 hasil cetusan idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:56 AM