UBAT

APAKAH antibiotik? Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Ada pelbagai jenis antibiotik yang digunakan dalam bidang perubatan.

Pemilihan jenis antibiotik dalam rawatan bergantung pada jenis bakteria yang terbabit dan keadaan pesakit selepas pemeriksaan doktor.

Bagaimanapun, tidak semua penyakit berjangkit memerlukan antibiotik. Selalunya gejala seperti demam, batuk atau selesema yang dialami pesakit disebabkan oleh jangkitan virus, maka antibiotik tidak diperlukan.

Ini kerana antibiotik hanya berkesan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan ia tidak berkesan melawan jangkitan yang disebabkan mikro organisma lain seperti virus dan kulat.

Penggunaan antibiotik secara tidak rasional dan berleluasa dalam pelbagai bidang menyebabkan peningkatan masalah kerintangan antibiotik. Kerintangan antibiotik adalah keadaan apabila antibiotik yang digunakan dalam rawatan jangkitan bakteria hilang keupayaan untuk melawan bakteria kerana bakteria sudah mengubah strukturnya (mutasi) atau menjadi kebal terhadap antibiotik.

Maka, jangkitan menjadi lebih sukar untuk dirawat dengan antibiotik sedia ada. Antara contoh bakteria yang kebal (superbugs) adalah Methicillin-Resistant Staphylococcus Aureus (MRSA).

Persoalannya, bagaimanakah kerintangan antibiotik boleh berlaku?

Kerintangan antibiotik boleh disebabkan:

• Antibiotik digunakan untuk merawat penyakit yang tidak memerlukan antibiotik.

• Antibiotik digunakan untuk tempoh yang terlalu singkat atau terlalu lama.

• Pengambilan antibiotik dihentikan tanpa nasihat doktor apabila pesakit berasa sudah sihat.

• Penggunaan antibiotik dalam dos yang kurang sesuai, iaitu kurang atau berlebihan daripada sepatutnya.

• Berkongsi antibiotik dengan individu lain.

• Penggunaan semula antibiotik yang tidak dihabiskan untuk jangkitan pada masa depan.

Penyalahgunaan atau penggunaan antibiotik secara tidak rasional menyebabkan bakteria menjadi kebal dan jangkitan sukar dirawat.

Kita boleh menangani isu kerintangan antibiotik di Malaysia dengan mengambil perhatian mengenai perkara berikut:

• Ubat antibiotik hanya boleh diberikan oleh doktor yang berdaftar atau dibeli dengan preskripsi yang sah daripada doktor di farmasi komuniti.

• Elak meminta atau mendesak doktor memberi antibiotik sekiranya masalah kesihatan yang dihadapi tidak memerlukan antibiotik.

• Sentiasa ikut arahan doktor atau ahli farmasi dalam penggunaan antibiotik, iaitu menghabiskan antibiotik mengikut dos dan tempoh yang ditetapkan.

• Jangan menggunakan lebihan antibiotik untuk merawat jangkitan pada masa depan dan tidak berkongsi ubat antibiotik dengan pesakit lain.

• Ketahui langkah pencegahan jangkitan seperti mengambil imunisasi, menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan jaga kebersihan makanan sebelum dimakan.

•Elak membeli antibiotik secara dalam talian atau daripada sumber yang tidak sah kerana pembelian dan penggunaan antibiotik tanpa kawalan boleh mendatangkan kesan mudarat yang tidak diingini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh:

Nurul Syazwani Baharin

Pegawai Farmasi

Klinik Kesihatan Tampin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:05 AM