JANGKITAN kuman di hospital berleluasa kerana bakteria semakin ‘kebal’. GAMBAR hiasan
JANGKITAN kuman di hospital berleluasa kerana bakteria semakin ‘kebal’. GAMBAR hiasan
Aniza Zainudin

LEBIH lama pesakit berada di hospital, lebih tinggi risiko individu berkenaan terdedah kepada jangkitan bakteria yang berupaya melawan antibiotik.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata, habitat bakteria tidak terhad, ia berada di udara serta di dalam tubuh manusia.

“Bakteria di dalam tubuh manusia boleh keluar apabila ia mengalami evolusi dan mutasi berikutan pengambilan antibiotik tidak diperlukan individu bagi melawan bakteria jahat.

“Kerintangan antibiotik (AMR) berlaku apabila antibiotik yang diambil pesakit tidak mampu melawan bakteria menjadi punca penyakit.

“Dalam perubatan penyakit berjangkit, ada pelbagai jenis bakteria atau bahasa pasarnya, kuman yang boleh menyebabkan demam.

“Demam boleh diakibatkan oleh bakteria, virus, parasit dan kulat. Namun, pengambilan antibiotik hanya diperlukan sekiranya demam disebabkan bakteria.

“Jika anda demam disebabkan virus, parasit atau kulat, pengambilan antibiotik tidak memberi kesan atau interaksi terhadap penyakit dialami.

DR Muhamad Yazli
DR Muhamad Yazli

“Sebaliknya, antibiotik berkenaan memberi kesan terhadap bakteria baik di dalam tubuh manusia seperti bakteria dalam usus yang berfungsi membantu proses pencernaan serta penghadaman.

“Bakteria baik ini akan melawan antibiotik dalam jangka masa lama sekiranya antibiotik diberi atau diambil dalam situasi yang tidak diperlukan bagi merawat penyakit.

“Proses pembentukan kerintangan antibiotik ini berlaku dalam tempoh yang lama seiring dengan pengambilan antibiotik secara tidak diperlukan sejak individu itu kecil,” katanya ketika ditemui.

Ujar Dr Muhamad Yazli, bakteria melawan antibiotik ini selalunya lebih cepat dikesan apabila sistem imunisasi individu berada pada tahap rendah.

Menyifatkan AMR sebagai isu kesihatan yang kompleks, bakteria melawan antibiotik ini boleh disebarkan menerusi air kencing dan najis malah boleh hidup di luar badan.

UJIAN makmal menunjukkan antibiotik memberi kesan terhadap pembiakan bakteria.
UJIAN makmal menunjukkan antibiotik memberi kesan terhadap pembiakan bakteria.

Justeru, pesakit lain terutama yang menghidap penyakit kronik dan rendah sistem pertahanan badan berisiko dijangkiti bakteria melawan antibiotik ini menerusi perkongsian peralatan sama di hospital atau dipanggil jangkitan ‘nosocomial’ (jangkitan kuman di hospital).

“Sebagai contoh, individu yang mempunyai AMR dimasukkan ke hospital disebabkan kemalangan atau masalah kesihatan yang bukan berkaitan dengan jangkitan bakteria.

“Bakteria melawan antibiotik individu berkenaan boleh tersebar di katil yang digunakannya sebelum kemudahan sama diguna pakai oleh pesakit kronik seperti pesakit jantung.

“Bukan itu saja, bakteria juga boleh hidup pada peralatan perubatan lain seperti tiub salur kencing yang dimasukkan ke dalam tubuh pesakit.

“Risiko pesakit jantung itu dijangkiti bakteria adalah tinggi kerana sistem imunisasinya rendah, tambahan pula, kawasan lembap meningkatkan pembiakan bakteria.

“Apabila dijangkiti bakteria ini, mungkin pesakit mengalami demam dan antibiotik yang diberikan pula tidak memberi kesan.

“Dalam beberapa kes, ada pesakit yang berada lama di hospital mengalami penyakit jangkitan kuman dalam darah atau paru-paru gara-gara bakteria melawan antibiotik,” jelasnya.

Kerintangan antibiotik membuatkan rawatan lebih sukar kerana keperluan mendapatkan antibiotik yang tepat menelan kos tinggi sekali gus memaksa pesakit berada lebih lama di hospital.

GUSAR apabila bakteria kian ‘maju’ hingga tiada antibiotik dapat melawannya.
GUSAR apabila bakteria kian ‘maju’ hingga tiada antibiotik dapat melawannya.

Mengulas mengenai AMR, beliau berkata, doktor memainkan peranan penting bagi mengawal kerintangan antibiotik terutama ketika preskripsi antibiotik kepada pesakit.

Pemberian antibiotik bagi penyakit yang tepat perlu dititikberatkan doktor berdasarkan pemeriksaan ke atas pesakit.

“Saya berpendapat doktor seharusnya lebih berkira-kira untuk memberi antibiotik kepada pesakit yang benar-benar memerlukannya.

“Soalan seperti sama ada antibiotik diperlukan, jenis antibiotik diberi dan dos yang tepat, boleh membantu doktor dalam mengawal masalah AMR.

“Bagi saya, tidak salah untuk kita (doktor) mendapatkan rundingan atau nasihat daripada doktor pakar sekiranya timbul kes diragui. Situasi sama bagi doktor di hospital kerana kita dapat menolong mengurangkan risiko AMR.

“Perkara yang membimbangkan saya apabila kita tidak lagi mempunyai pilihan antibiotik bagi membantu pesakit kerana kerintangan antibiotik.

“Tidak seperti penyakit tidak berjangkit, rawatan dan teknologinya semakin ke hadapan. Berbeza bagi penyakit berjangkit yang seakan-akan kembali ke zaman dahulu apabila kian sukar mendapatkan antibiotik bagi merawat pesakit,” katanya.

Menjelaskan peranan masyarakat, beliau berkata, pesakit mempunyai hak untuk bertanya kepada doktor mengenai keperluan mengambil antibiotik.

Selain itu, pesakit perlu mematuhi nasihat doktor apabila dipreskripsikan agar menghabiskan antibiotik walaupun sudah sembuh.

Ini kerana risiko bakteria masih ada dalam tubuh dan antibiotik dibekalkan dapat melawan dan mengawal pembiakan bakteria.

Menurut Dr Muhamad Yazli lagi, setiap antibiotik memiliki cara kerja berbeza dalam tubuh manusia. Paling minimum, antibiotik dibekalkan untuk tempoh antara tiga hingga tujuh hari dan maksimum 10 hari terutama bagi kanak-kanak.

Katanya, pesakit juga dinasihatkan tidak berkongsi antibiotik peribadi dengan ahli keluarga kerana tiada kepastian bahawa penyakit mereka disebabkan bakteria sama walaupun memiliki simptom sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 5:30 AM