SUPERBUGS adalah istilah yang dicipta bagi menjelaskan jenis-jenis bakteria, parasit, virus dan kulat yang tahan pelbagai ubat (MDR).
SUPERBUGS adalah istilah yang dicipta bagi menjelaskan jenis-jenis bakteria, parasit, virus dan kulat yang tahan pelbagai ubat (MDR).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pada tahun 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai 'superbugs' yang akan menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada tahun 2019 di dalam jurnal The Lancet, 'superbugs' didapati menjadi punca kepada hilangnya hampir lima juta nyawa di seluruh dunia.

Ini termasuklah kira-kira 1.2 juta kematian yang berkaitan secara langsung kepada 'superbugs.'

Ia adalah keadaan di mana antibiotik baharu untuk melawannya tidak dapat dihasilkan tepat pada waktunya.

Senario itu kedengaran serupa dengan penularan Covid-19 di mana jangkitan cepat merebak ke serata dunia pada ketika kita ketiadaan ubat untuk melawannya.

Namun, apakah sebenarnya 'superbugs' itu?

Dekan Bersekutu Fakulti Sains Kesihatan bagi Hal Ehwal Penyelidikan dan Hubungan Luar Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Chin Beek Yoke berkata, 'superbugs' adalah istilah yang dicipta bagi menjelaskan jenis-jenis bakteria, parasit, virus dan kulat yang tahan pelbagai ubat (MDR).

ANTARA penyebab utama yang menyebabkan ‘superbugs’ semakin berleluasa kerana terlalu banyak preskripsi dan pemberian antibiotik yang tidak perlu atas alasan selain jangkitan bakteria.
ANTARA penyebab utama yang menyebabkan ‘superbugs’ semakin berleluasa kerana terlalu banyak preskripsi dan pemberian antibiotik yang tidak perlu atas alasan selain jangkitan bakteria.

Kata beliau, bakteria-bakteria itu berupaya memintas kesan antibiotik, lalu membiak atau membiak secara tidak terkawal dalam perumahnya.

"Superbugs' ini bukanlah tidak boleh dihapuskan, tetapi senjata yang ada dalam bentuk antibiotik untuk mengalahkannya adalah sangat sedikit.

"Biarpun kita biasa mendengar mengenai stafilokokus aureus yang tahan methicillin (MRSA) iaitu sejenis ubat yang tahan jangkitan kuman stafilokokus, adalah penting untuk semua ketahui bahawa 'superbugs' bukanlah sejenis bakteria tertentu sahaja dan mana-mana spesies bakteria boleh tahan antibiotik dan menjadi 'superbugs.'

"Bakteria salmonella sebagai contoh, adalah jangkitan biasa tetapi amat memudaratkan disebabkan makanan dan minuman tercemar serta penyakit batuk kering Tuberkulosis (TB) yang tahan kepada ubat," katanya kepada Harian Metro.

BAKTERIA bijak dan mampu bermutasi untuk mengatasi keberkesanan antibiotik.
BAKTERIA bijak dan mampu bermutasi untuk mengatasi keberkesanan antibiotik.

Menurut Profesor Beek Yoke, bakteria sangat bijak dan ia mampu bermutasi untuk mengatasi keberkesanan antibiotik.

Katanya, apabila bakteria mempunyai gen rintangan, ia boleh berganda secara menegak (membiak) atau mendatar, di mana ia bergabung dengan spesies bakteria yang berbeza.

"Begitulah cara bakteria menyebar luaskan ciri-ciri rintangan pelbagai ubatnya secara semula jadi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa penyebab utama'superbugs' semakin berleluasa adalah terlalu banyak preskripsi dan pemberian antibiotik yang tidak perlu atas alasan selain jangkitan bakteria.

RAMAI yang tidak peduli untuk menghabiskan antibiotik yang diberi doktor.
RAMAI yang tidak peduli untuk menghabiskan antibiotik yang diberi doktor.

Selain itu, ia juga disebabkan penggunaan antibiotik tidak diluluskan, dari pasaran gelap tidak cukup berkesan dan pesakit tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan.

"Contohnya bagi kes penyakit TB, di mana strain bakteria yang tahan ubat menjadi bertambah buruk akibat pesakit yang tidak melengkapkan rawatan TB, pesakit yang diberikan rawatan yang salah (dos dan tempoh preskripsi ubat yang salah) dan tidak mendapat ubat-ubatan betul atau mengambil ubat dari pasaran gelap, " katanya.

Menurut Laporan Pengawasan Rintangan Antibiotik Kebangsaan 2020 yang diterbitkan Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, kebanyakan kes MDR yang direkodkan terhad di wad perubatan, ortopedik dan pembedahan.

Meskipun tiada bukti konkrit untuk mengesahkan kewujudan MDR dalam masyarakat, namun ada peningkatan corak rintangan bagi beberapa antibiotik yang diuji ke atas strain-strain bakteria yang berlainan.

ADA yang menyimpan antibiotik dan apabila tidak sihat, mereka mengambilnya semula tanpa preskripsi doktor, tanpa mengetahui sama ada mereka menghidapi jangkitan virus atau bakteria.
ADA yang menyimpan antibiotik dan apabila tidak sihat, mereka mengambilnya semula tanpa preskripsi doktor, tanpa mengetahui sama ada mereka menghidapi jangkitan virus atau bakteria.

Bukti-bukti anekdot turut mencadangkan tabiat yang menjadi pemula MDR dalam masa terdekat, iaitu terlebih preskripsi antibiotik dan pesakit yang mendesak mahukan antibiotik walaupun tidak memerlukan.

"Tindakan seperti itu sebenarnya membuka laluan kepada terciptanya lebih banyak 'superbugs," kata Profesor Beek Yoke.

Selain daripada itu, beliau berkata, ramai yang tidak peduli untuk menghabiskan antibiotik.

Katanya, ada masanya masyarakat merasakan gejala yang dihidapi sudah semakin baik tetapi tiada bukti untuk mengesahkan sama ada bakteria sudah dibunuh sepenuhnya atau sebaliknya (terus membiak).

ORANG ramai sering melupuskan lebihan antibiotik dengan membuangnya ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah.
ORANG ramai sering melupuskan lebihan antibiotik dengan membuangnya ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah.

"Ada juga yang menyimpan antibiotik dan apabila tidak sihat, mereka mengambilnya semula tanpa preskripsi doktor, tanpa mengetahui sama ada mereka menghidapi jangkitan virus atau bakteria.

"Pengambilan antibiotik yang tidak lengkap tidak mampu menghentikan pembiakan bakteria sebaliknya ia membolehkan MDR berkembang dan membenarkan bakteria dalam badan untuk membina ketahanan kepada ubat-ubatan," katanya.

Satu lagi masalah timbul adalah disebabkan masyarakat melupuskan lebihan antibiotik dengan membuangnya ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah.

Menurut Profesor Beek Yoke, cara yang betul untuk melupuskan lebihan antibiotik adalah dengan membawanya ke farmasi terdekat.

CARA yang betul untuk melupuskan lebihan antibiotik adalah dengan membawanya ke farmasi terdekat (gambar hiasan).
CARA yang betul untuk melupuskan lebihan antibiotik adalah dengan membawanya ke farmasi terdekat (gambar hiasan).

Katanya, semua ahli farmasi berkemahiran dan mempunyai kelengkapan melupuskan ubat-ubatan lebihan dengan kaedah yang betul.

"Selain itu, antara sumber lain MDR adalah amalan meletakkan antibiotik ke dalam makanan haiwan dan ikan ternakan.

"Apabila produk keluaran ternakan itu dimakan manusia, kita turut mengambil sisa antibiotik yang berada di dalam dagingnya.

"Pengambilan tanpa sengaja antibiotik itu boleh mengubah persekitaran normal bakteria di dalam badan dan mendedahkan kepada jangkitan bakteria pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Profesor Beek Yoke sendiri mengakui beliau sebelum ini dua kali menghadapi 'superbugs' iaitu selepas menjalani pembedahan membuang ke ketumbuhan di belakang telinga dan ketika cedera terkena serpihan gelas.

Beliau menganggap dirinya bertuah kerana berjaya mendapatkan ubat yang betul tepat pada masanya dan orang lain mungkin tidak kerana tiada pengalaman.

"Bagi yang tiada pengalaman, dinasihatkan supaya membuat penilaian sendiri dan perhatikan luka anda dan jika dilihat tidak normal, ambillah gambar.

"Selepas 24 jam ambil gambar sekali lagi. Ambil perhatian sama ada ia semakin baik selepas disapukan antiseptik atau krim antibiotik.

"Jika tiada perubahan atau kelihatan semakin teruk dalam tempoh sehari dua, mohon rujuk kepada doktor dengan segera, "katanya.

Katanya, salah satu cara yang paling ampuh untuk melawan 'superbugs' adalah melalui pendidikan dan kesedaran kerana orang ramai perlu memahami kenapa MDR wujud.

"Jika masyarakat tidak tahu, maka wujudlah ketakutan dan salah maklumat.

"Mudah sahaja sebenarnya, majoriti 'superbugs' MDR 'dicipta' manusia iaitu melalui 'Pencemaran Antibiotik.'

"Memandangkan ia adalah ciptaan manusia, maka terpulang kepada kita untuk melawan penjahat-penjahat besar yang berada di kalangan kita ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:20 AM